Nampaknya sekali lagi panas tidak sampai ke petang. Saya memang redha dan pasrah. Tentu ada hikmah disebalik semua ini.
Setelah cuba bertahan untuk sekian lama juga, saya bercerai hidup kali ini. Bekas isteri saya yang minta diceraikan atas alasan dia tidak mahu duduk di sini lagi kerana dia nak menjaga ibunya di kampung. Dia berkeras mahu saya ikut balik dan bekerja di sana saja. Jika saya tidak mahu ikut balik, dia mahu ganjaran bulanan sekurang-kurangnya RM 5,000. Syarat-syarat ini berat bagi saya.
Bagaimana itu dapat saya penuhi sedangkan saya mempunyai kontrak untuk membekalkan barang-barang yang dijanjikan. Sekurang-kurangnya pun masih berbaki satu tahun lebih lagi. Bayaran untuk bekalan pula tidak diterima setiap bulan. Saya perlu membayar gaji pekerja, pastikan cukup pusingan modal serta ada baki RM10,000 setiap bulan kerana kekadang ada order sampingan yang agak tinggi yang perlu dibeli dahulu sebelum mendapat bayarannya.
Kakak menasihatkan saya supaya melakukan solat istiqarah. Selepas berbuat demikian beberapa kali, saya membuat keputusan memenuhi permintaannya untuk bercerai.
Dulu saya bercerai kerana isteri saya meninggal setelah diserang sakit jantung. Kini saya bercerai hidup di bulan mulia kerana permintaan bekas isteri.
Untuk sementara ini saya tinggal bersama kakak. Kakak sekeluarga tegaskan bahawa lebih baik saya bersama mereka supaya saya tidak hilang semangat. Saya bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang sentiasa begitu menyokong tanpa syarat.