UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Ahad, 25 Julai 2010

LAYAN KEINGINAN NAFSU

Memang sudah lama orang tahu bahawa ramai penuntut institusi pengajian tinggi sentiasa terjebak dalam kancah sosial mencari keseronokan serta duit poket tambahan di pusat-pusat hiburan.  Dari dulu hingga sekarang sebabnya saja.  Cuma sekarang caranya semakin canggih.

Saya pernah terserempak beberapa penuntut universiti keluar dari 'pub dan bar' yang umum tahu adalah tempat orang bersuka-suka dengan minuman keras.  Memang saya tak melihat sendiri apa yang mereka buat di dalam tempat seperti.  Tetapi semasa keluar dari sana itu, jelas mereka telah minum minuman keras atau makan apa-apa yang memabukkan kerana mereka riuh dan jalan terhuyung-hayang juga.  Bezanya cuma ada di kalangan mereka yang kurang mabuk dari kawan-kawan mereka yang lain saja.

Sekarang saya lihat ramai juga penuntut IPTA dan IPTS serta mahasiswa/mahasiswi yang pergi lepak di dalam pusat-pusat hiburan yang eksklusif.  Ada sekali tu saya diajak kawan yang bekerja sebagai wartawan dengan sebuah akhbar untuk membuat liputan mengenai hal ini.

Rupanya di dalam sana memang ada berbagai aksi dahsyat dan lucah berlaku.  Ada tarian bogel, dan ada perempuan berpakaian amat terdedah seksi mengelilingi pentas dan dikerumuni oleh saudara-saudara syaitan.  Naik seram juga rasanya sebab digoda oleh perempuan-perempuan yang sengaja melagakan buah dada mereka di bahu dan kepala pengunjung-pengunjung.

Bagi pengunjung, ia bukan satu hobi yang murah kerana ada caj bayaran masuk dan meja sekurang-kurangnya.  Yang bersifat 'pemurah' menghulur wang kepada 'penghibur' yang sedia melayan keinginan nafsu mengikut bayaran.  Kira-kira mereka saling melayan keinginan nafsu masing-masing.

Begitu murah maruah mereka ini.  Tetapi saya yakin gejala sosial sebenarnya bermula dari sistem pendidikan kita yang tempang dan cacat serta tidak cukup dengan nilai moral yang baik dan positif.

Rabu, 21 Julai 2010

BENJY MUNGKIN MULA MENGERTI

Tentulah ramai sudah mengetahui bahawa pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Benjy telah menarik kembali rayuan habeas corpus yang dibuatnya.  Kes rayuan ini dijadualkan untuk dijalankan di Mahkamah Persekutuan di sini, pada hari Rabu ini

Sidang kes berkenaan dijadualkan didengar oleh panel tiga hakim.  Tapi peguamnya memberitahu bahawa pihak Benjy sudah menarik kembali rayuan berkenaan.  Tiada sebab dikemukakan.

Saya yakin Benjy, ibunya Azean Irdawaty dan keluarga mereka sudah faham tentang peruntukan undang-undang dan mekanisma pelaksanaan undang-undang.  Seperti kata orang tak guna menongkah arus, dan kalau jelasnya batu, masakan boleh dibahaskan sebagai hanya selut kering.

Semoga menjadi ikhtibar bagi sekelian rakyat Malaysia.  Lebih penting lagi, setiap warga Malaysia mesti faham, disegi undang-undang, semua orang mesti mendapat hak dan mempunyai tanggung-jawap yang sama.  Demikian asas 'Common Law' iaitu semua mesti adil dan saksama.

Jumaat, 16 Julai 2010

JINAKKAN DIRI DENGAN ALLAH SWT

Ustaz minta panjangkan pesan supaya saling mengingatkan sesama umat manusia bahawa sekarang kita berada di bulan Syaaban.  Kita diingatkan untuk turut mendampingi dan menjinak-jinakkan diri dengan Allah SWT dengan melakukan ibadah-ibadah yang tertentu.

Bulan Syaaban juga dikatakan melebihi bulan-bulan lain seumpama kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas segala Anbia' iaitu para-para Nabi-nabi.  Syaaban diagungkan pula dengan Malam Nisfu Syaaban.

Ada hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah bersabda bahawa pada malam ini Allah akan mengampunkan mereka yang memohon keampunan, dan diafiatkan dari bala bagi mereka yang ditimpa bala, serta dirahmati rezeki bagi mereka yang memohon rezeki.  Mengikut kitab pula dikatakan Jibril bersungguh-sungguh menunaikan segala hajat pada malam Nisfu Syaaban ini.

Samaada hadis itu kuat atau lemah, setiap seruan dan nasihat kepada kebaikan dan kebajikan sepatutnya dituruti.  Tidak salah untuk melipat-gandakan usaha untuk mendapat kebaikan dan keredhaan Allah SWT.

Isnin, 12 Julai 2010

SEPANYOL JUARA PIALA DUNIA 2010

SEPANYOL menang 1 - 0 dalam perlawanan akhir sebentar tadi.  Penantian bertahun-tahun dan bermusim-musim berakhir.  Malam ini selepas 13 kali percubaan, akhirnya mereka memecah kebuntuan dan berjaya menjadi juara Piala Dunia 2010 ini.

Perlawanan akhir malam ini tidak menepati kualiti satu pertandingan berprestij seperti Piala Dunia.  Pengadil melayang kad di minit-minit awal lagi.  Kemudian terlalu banyak kad telah dilayangkan.

Satu tindakan merbahaya menendang dada lawan yang seharusnya seorang pemain Belanda dibuang padang tidak berlaku.  Rentak permainan ikut terjejas.

Begitu pun syabas dan tahniah kepada Sepanyol yang menjadi Juara.

Khamis, 8 Julai 2010

FINAL PIALA DUNIA

Belanda sudah mengesahkan tempatnya di final semalam.  Sekarang Sepanyol sudah melayakkan diri ke peringkat akhir juga.

Sepanyol telah menunjukkan mutu permainan yang amat cemerlang.  Tetapi tidak juga mendapat gol yang dicari.

Pada minit 73 barulah mereka mendapat gol pertama dan satu-satunya gol dalam perlawanan separuh akhir ini.  Sepanyol mengalahkan Jerman 1 - 0.

Peramal 'octopus' semakin menjadi.  Kredibilitinya meningkat!  Nanti Jerman menjadikannya kerabu.  Hehe.

Khamis, 1 Julai 2010

WAJIP BERTANGGUNG-JAWAP

Menteri Pertahanan, YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Komander Maktab Tentera Di Raja (RMC) harus ada akauntabiliti, dan wajip bertanggun-jawap.  Yakni Komander berkenaan  mesti bertanggung-jawap sepenuhnya di atas apa yang berlaku bersabit dengan kematian pelajar Maktab tersebut tempuhari.

Ini membuat saya merasa agak jengkel juga.  Kalau itu adalah pegangan asas kita bermakna semua pemimpin dan ketua harus bertanggung-jawap sepenuhnya di atas segala apa yang berlaku di Kementerian atau Jabatannya.

Kalau begitu tidakkah Menteri Pertahanan ketika engin jet hilang tempuhari mesti bertanggung-jawap di atas kehilangan itu?  Maknanya Perdana Menteri yang menjadi Menteri Pertahanan ketika itu wajip bertanggung-jawap.  Bukan begitukah?

Sesuatu peraturan itu mesti diaplikasi secara menyeluruh.  Semuanya tidak terkecuali.  Janganlah peraturan seperti ini dipakai hanya untuk golongan bawahan saja.  Yang di atas itu dulu yang mesti di atur supaya yang di bawah dapat hormat dan patuh.