UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Jumaat, 24 Disember 2010

BELIMBING BULUH SEBAGAI PENAWAR

Rupanya belimbing buluh yang tak seberapa harganya itu adalah penawar kepada beberapa masaalah kesihatan.  Malam ini barulah saya tahu.
Gambar Belimbing Buluh

Sewaktu makan malam sekejap tadi kakak paksa saya makan buah belimbing buluh muda yang dihidang sebagai ulam. Terperanjat juga dibuatnya sebab selama ini selalunya belimbing ini dimasak bersama kari ikan atau dibuat masak lemak.  Oleh kerana didesak kakak dan malas membantah cakapnya saya makan juga la lima biji yang sedang besar.

Selesai makan baru kakak beritahu bahawa belimbing buluh ini adalah baik untuk mengatasi  masaalah kesihatan saya.  Sejak beberapa bulan lepas, tekanan darah saya sudah berat ke tahap yang berisiko tinggi.  Saya juga sering sakit kepala.  Kebetulan juga sejak petang tadi kepala terasa amat sakit.

Kata kakak belimbing buluh ini baik untuk mengubati penyakit darah tinggi, sakit kepala, kencing manis dan juga batuk.  Sekurang-kurangnya malam ini saya yakin ia menghilangkan rasa sakit kepala.

Mengikut kata kakak saya, jika tak suka dimakan begitu saja, kita boleh buat jus.  Tetapi sebaik-baiknya biarlah sebagai puree.

Selasa, 14 Disember 2010

KUEH TURKEY

Badan rasa sudah amat letih dan mata pun sudah ngantuk benar.  Tapi kuat pula keinginan nak buat N3 juga malam ni.  :)

Sebenarnya saja nak cerita pasal cerita lawak jakun saya.  Hari inilah baru pertama kali saya makan 'Turkish delights' atau apa yang dikatakan adalah kueh tradisi Turkey.  Saudara abang ipar bawa balik dari London dan memberikannya sebagai ole-ole.  Lihatlah hidangannya di gambar bawah ini.


Bila disuruh makan saya terus ambil seketul masuk ke dalam mulut.  Sekali pepak (gigit) saja, rasa manisnya yang tidak terhingga.  Nak diluahkan ramai ahli keluarga lain tengah makan.  Nanti meloyakan mereka pula.

Aduh, kunyah dua kali terus telan sajalah.  Kemudian terus minta diri nak ke bilik air.  Habis muntah balik semuanya!

Memang kueh ini nampak menarik juga kerana berwarna-warni.  Sekali pandang seperti halua maskat kita; seperti 'coconut candy' pun ada juga.  Tekturnya liat ala-ala dodol.  Mengikut kata kakak, semuanya berperisa buah-buahan.

Bagi saya kueh ini tak adalah sedap pun.  Cuma ada kelainan.  Saya tertarik kerana pertama kali lihat dan jelas bukan makanan kita.  Tetapi apabila makan satu, rasa sudah tak hendak lagi.

Isnin, 6 Disember 2010

KHASIAT MENGKUDU

Sementelah terjaga dari tidur, elok juga buat N3 baru.  Hari ini saya nak berkongsi pasal khasiat mengkudu pula.

Kakak selalu juga buat jus mengkudu.  Sekarang apabila duduk dengan kakak saya sering juga minum jus mengkudu la.  Rasanya memang tidak berapa enak.  Tetapi minum jugalah kerana terbukti mujarab.

Sebelum bercerita pasal khasiat mengkudu, lihatlah dulu rupa mengkudu seperti di dalam gambar di bawah.  Ini gambar pokok kakak saya.
Pokok Mengkudu Kakak

Saya mula minum air mengkudu secara berkala sejak setahun lalu setelah tekanan darah saya dikesan melewati batas selamat.  Selalunya saya minum seminggu sekali di rumah kakak saya.  Alhamdulillah, tekanan darah saya sudah turun dan sekarang kembali normal.

Mengikut petua orang tua, buah mengkudu baik untuk kesihatan badan.  Antara kebaikannya ialah mengkudu bantu mencernakan darah dan meredakan tekanan darah tinggi.  Selain dari itu, mengkudu bantu mengubati penyakit kencing manis dan masaalah buah pinggang.  Ada lagi kebaikan lainnya seperti membantu meredakan senggugut dan arthritis.

Kata kakak, daunnya adalah baik sebagai awet muda.  Sementara itu bunganya juga baik untuk mata.

Setakad ini belum dengar lagi mengenai kesan sampingan.  Cuma mengikut petua, kita tak boleh juga mengamal makan secara berlebihan kerana nanti darah boleh naik ke otak.  Maksudnya pencernaan darah melampau boleh membahayakan.

Buah, daun dan bunga mengkudu biasanya direbus dahulu.  Air didihan pertama mesti dibuang.  Kemudian baru direbus semula hingga lembut.  Buah dan airnya boleh dikisar menjadi jus.  Sementara daun dan bunganya boleh dimakan sebagai ulam.

Ada juga orang menggunakan daun untuk buat nasi ulam atau masak otak-otak dan botok-botok.  Kakak ada sebut, jika makan begini mestilah berpada kerana bahan toksidnya yang tidak dibuang mungkin akan membuat perut sakit menyucuk dan rasa tersumbat.