UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Sabtu, 30 Oktober 2010

BERKAMPUNG DI RUMAH KAKAK

Seminggu ini saya berkampung di rumah kakak.  Sebenarnya kakak sekeluarga menasihatkan saya untuk tinggal bersama mereka saja sebab mereka risau saya di rumah seorang diri.  Kata kakak, cuba dululah minggu ini.

Sebenarnya saya memang pernah tinggal bersama kakak sekeluarga pada zaman remaja dan bujang dulu.  Jadi tidak ada masaalah pasal keselesaan.  Abang ipar dan anak saudara memang sentiasa baik hati seperti kakak juga.

Cuma jarak masa tu sudah lama sangat.  Saya takut saja terbawa perasaan melihat suasana harmonis bahagia di rumah kakak.  Semua orang merindukan suasana begitu.  Jika tidak kedapatan kita terasa hampa kecewa.  Itu yang buat rasa nak jerit sekuat hati untuk membaling jauh-jauh rasa negatif itu.

Selama seminggu ini, nampaknya saya rasa semakin tenang.  Besar kemungkinan saya akan patuh dengan nasihat kakak untuk tinggal bersama mereka saja.

Jumaat, 22 Oktober 2010

PERIT BERCERAI HIDUP

Rupanya bercerai hidup amat berlainan tekanannya.  Bila bercerai mati, tak ada dengar cerita yang tidak enak mengenai pasangan dan diri kita.  Tetapi bila bercerai hidup ni, bermacam-macam cerita pula terdengar.

Walaubagaimanapun saya sudah pasrah.  Biarlah sebelah pihak bekas isteri membuat berbagai cerita dan andaian.  Seperti nasihat kakak saya, "Allah SWT Maha Tahu & Maha Esa; Tuhan satu saja."

Saya seboleh-bolehnya tidak mahu mengikut rentak bekas isteri.  Cuma bila ada orang bertanya bersabit dengan cerita dan andaian itu, saya jadi serba salah antara nak memberi komen ataupun tidak.  Bila kita senyum dan jawap, "no comment," mereka tak puas hati.

Namun memang betul seperti kata kakak bahawa kita tak boleh ikut rentak orang.  Sampai bila pun kita tidak akan dapat meyakinkan orang, apatah lagi memuaskan hati semua orang.

Dalam pada itu, ramai juga menyarankan supaya saya segera berkahwin semula.  Entahlah, berat juga rasanya buat masa sekarang ni.

Saya masih terlalu amat kecewa kerana saya sudah sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan saya itu.  Satu-satunya kelemahan saya ialah saya suka mengalah.  Tetapi apabila keadaan menjadi tidak terkawal, saya terpaksalah bersuara.  Sejak itulah bermulanya kehancuran dalam rumahtangga kami.

Apabila bercerai atas tuntutan isteri, rupanya keperitan terus hadir juga dalam kehidupan saya.  Namun saya sedang berusaha bersungguh-sunggh untuk mengatasi perasaan kecewa ini.

Rabu, 20 Oktober 2010

WARISAN MERDEKA

Walaupun saya bukan punya kelayakan akademik dan pengalaman yang relevan, saya masih boleh bersuara menyatakan kata hati ini.  Biarpun PM kata ini projek PNB, saya terpanggil nak memberi pendapat juga.

Pendeknya apa logika untuk membina sebuah bangunan tertinggi lagi hanya untuk berbangga dengan menamakannya Warisan Merdeka.  Peruntukan sebanyak RM 5 billion bukan sedikit.  Boleh kering kantung tabungan dibuatnya.

PM kata projek ini akan mempunya 'multiplier effect' dan amat baik untuk ekonomi negara.  Aduh! janganlah terus-terusan cakap politik.

Begitu banyak lagi usaha lain yang akan menganjakkan ekonomi dengan kesan berlipat ganda.  Tanya kepada pakar-pakar ekonomi yang betul-betul jelas kepakaran mereka.  Jangan letak orang yang hanya akan jadi pak turut sebagai pakar.  Angkat mereka yang jelas mengambil keputusan atas petunjuk sebenar! 

Ahad, 10 Oktober 2010

10.10.10

Cantik kombinasi nombor ini.  Saya teringat pula untuk merakamkannya di dalam paparan di blog.

Mengikut berita, ramai orang mahu merakamkan sejarah di dalam hidup mereka pada hari ini.  Jadi memang banyak majlis perkahwinan dan pendaftaran pernikahan pada hari ini.

Orang Cina memang percaya hari ini baik dan membawa tuah.  Katanya ini kerana nombor in melambangkan kesempurnaan.

Tetapi perkahwinan bukan saja akan berlangsung untuk orang-orang Cina.  Ramai orang Melayu pun ikut mengadakan majlis kenduri mereka pada hari ini.

Saya sendiri mendapat lima undangan ke majlis kenduri kahwin hari ini.  Tiga adalah untuk upacara siang, dan dua lagi adalah untuk resepsi di Dewan dan di Hotel sebelah malamnya.

Memanglah kita tidak dapat memenuhi semua undangan.  Bukan saja masanya bertembung, tetapi di antara satu tempat dengan yang lain-lainnya juga adalah jauh.