UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Ahad, 28 Februari 2010

SEMPAT JUGA MENJENGAH KE KAMPUNG

Memandangkan minggu ni pun cuti am bersambung dengan cuti hujung minggu, saya dan isteri mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung sekejap.  Sebelum fajar lagi kita orang dah bertolak.  Selepas tu singgah solat Subuh di kawasan rehat Tapah.

Alhamdulillah, trafik ok.  Tetapi kerana singgah minum dan makan dua kali di perjalanan, lima jam lebih jugalah baru sampai di Alor Star.  Tetapi sempat berehat jugalah sebelum pergi menunaikan solat Jumaat.

Semasa balik tu saya sempat juga ziarah kubur arwah ayah dan arwah isteri pertama serta juga berkunjung ke rumah saudara-mara terdekat.  Kira-kira makan percuma dan tidur 'free' la sepanjang masa balik ke kampung tu ...... hehehe.

Petang semalam saya dan isteri pergi juga membeli bekalan makanan di Pekan Rabu.  Sempat menjamu selera mee bandung di gerai saudara dan kawan lama lagi, pun percuma juga.  Hai, susah juga kerana kita bayar pun dia tak nak ambil.  Agaknya jika selalu balik dan pergi makan, baru la tak ada makanan percuma ni ... :)

Kebanyakan barang makanan yang dibeli ni sebenarnya adalah pesanan kakak.  Biasalah, kakak saya memang suka beli serunding daging lokal buatan Kelantan serta kuah rojak yang dijual di Pekan Rabu dan di gerai tertentu tu.  Tak lupa juga ialah beras pulut susu dan emping.

Sekali ni kakak saya siap suruh mencari buluh lemang dan daun palas lagi.  Tak cukup dengan tu, beliau suruh beli rebung kuning atau rebung hutan untuk buat kari bersama daging dan dimakan dengan roti surai.  Kata beliau nak adakan majlis makan petang (Hi-Tea) di rumahnya pada hasi Sabtu yang akan datang nanti.

Tadi pagi kita orang bertolak balik selepas Subuh.  Sekali saja singgah rehat dan makan di Sungai Perak.  Jadi awal jugalah sampai balik sini.  Ni dah boleh rehat dan relaks.

Jumaat, 26 Februari 2010

SALAM MAULIDUR RASUL


Umat Islam seluruh dunia mengadakan pelbagai acara sempena menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada setiap tahun.  Sekali lagi Maulidur Rasul datang lagi pada hari ini.

Allah SWT telah mengangkat Nabi Muhammad SAW ke tahap tertinggi, dan setiap apa yang kita buat sebagai memuliakan baginda akan dibalas dengan kebaikan pahala.  Jadi eloklah jika turut sama-sama meraikan Maulidur Rasul ini.  Paling tidak pun kita bersalawat berlipat kali ganda dari hari-hari lain sepanjang tahun.

Saya mencari-cari dan kemudian mendapat kaligrafi di atas melalui khidmat Google.  Nampak cantik dan rasanya sesuai untuk menghiasi laman saya.

Lupa pulak nak memperkatakan sedikit tentang bulan kelahiran Nabi, iaitu bulan Rabiulawal, tahun Hijrah.  Bulan Rabiulawal  ialah bulan ketiga dalam kalendar Islam.

Mengikut sejarah, bulan Rabiulawal bermaksud bulan bilamana pokok-pokok tanaman mula berbunga atau musim bunga sesuatu tahun.  Kebiasaannya di bumi Arab ini, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan juga mula berbunga dan seterusnya berbuah.  Jadi nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka.  Setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW telah mengekalkan nama Rabiulawal ini.

Sekali lagi Selamat Maulidur Rasul.  Semoga kita semua diberkati dengan limpah rahmat Allah.  Amin.

Isnin, 22 Februari 2010

BERGELAP ANGKARA PENCURI


Memang pencuri-pencuri peralatan sambungan arus letirk tidak takut dan tidak serik-serik mencuri alat peralatan sambungan arus letrik di stesyen pencawang elektrik.  Ini adalah kerana ada pembeli yang mahu membelinya dengan membayar harga yang cukup berbaloi dengan usaha mereka.  Jadi, episod penduduk bergelap kerana pencawang rosak setelah diceroboh akan sentiasa berulang.

Dua hari lepas, kira-kira 200 orang penduduk di Taman Mutiara, Sungai Kob, di Kulim, Kedah terpaksa bergelap setelah pencuri menceroboh pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di kawasan Kulim.  Mereka telah mencuri peralatan "Neutral Passbar" pada Peti Pembekal Voltan Rendah dan sistem pembumian pencawangan telah dicuri.

Mengikut sumber berita berkenaan, penduduk dianggarkan kerugian RM 10,000 setiap rumah.  Ini adalah kerana berlaku kerosakan barangan elektrik akibat renjatan bekalan elektrik setelah kemasukan aliran elektrik yang terlalu tinggi.  Banyak peralatan seperti peti televisyen, peti sejuk, pemain cakera padat dan seterika meletup, terbakar dan rosak secara tiba-tiba.

Awal pagi tadi rumah saya pula tiba-tiba tiada punca letrik.  Saya tengah mandi, tiba-tiba lampu terpadam dan pancutan air jadi perlahan.  Menggagau saya keluar  mencari set lampu kecemasan di bilik tidur setelah isteri saya menjerit di dapur kerana ketakutan.  Tersepak beberapa barang jugalah baru sampai ke tempat lampu itu diletakkan.

Saya menjengah keluar ke rumah jiran.  Sama juga, semuanya kelihatan gelap.  Selepas itu saya membuat lapuran kepada TNB.  Rupanya sudah ada jiran yang sudah pun membuat lapuran.

Sehingga saya keluar kerja tadi, bekalan letrik belum dipulihkan lagi.  Mengikut sumber TNB, peralatan sambungan arus letrik di pencawang dekat kawasan rumah saya telah dicuri, dan mereka perlukan sedikit masa untuk menggantikannya.

Khamis, 18 Februari 2010

"BILA LAGI?"

Sudah seminggu lebih hebuh dengan cerita kes rasuah berprofil tinggi ini.  Walaupun desas desusnya bermula sejak akhir tahun lalu, tetapi cerita menjadi betul-betul panas apabila identiti insan berprofil tinggi ini didedahkan.

Sebelum itu, ramai asyik berteka-teki saja.  Apabila mula dihebahkan insan berkenaan sebagai setiausaha politik kepada seorang menteri kanan dari negeri di utara, ramai sudah mengaitkannya dengan YB Tan Sri Mohd Nor Yakcop.  Akhirnya berita itu disahkan.

Pada 11 Februari lalu, SPRM menahan setiausaha politik berkenaan di Pulau Pinang kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.  Pada hari Isnin, pejabat Menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan bahawa setiausaha politik berkenaan, Hasbie Satar,  sudah melepaskan jawatannya berkuatkuasa pada hari Ahad itu, tanpa menyatakan sebab perletakan jawatan berkenaan.

Hari ini pula kita mendengar berita beliau sudah pun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.  Mengikut berita disiarkan, SPRM dalam kenyataannya, berkata suspek berkenaan dibebaskan selepas percakapannya dirakamkan serta sebuah kenderaan dan sejumlah wang turut disita bagi membantu siasatan.

Benar sekali kita tidak boleh menghukum sebelum segalanya terbukti.  Saya pun tidak mahu menyentuh tentang kes berkenaan.

Saya cuma sekadar mahu mengatakan bahawa saya memang pernah berjumpa ramai sekali orang-orang yang berdampingan dengan Menteri-menteri dan mereka-mereka yang berkuasa.  Mereka itu dengan bangga mengatakan, "Rezeki dah terhidang, kalau tak diambil peluangnya bila lagi?"  Masyarakat sekeliling memang dapat melihat dengan nyata bahawa kebanyakan dari kalangan mereka ini kaya mendadak.

Sabtu, 13 Februari 2010

CUTI TAHUN BARU CINA



Dah senyap sunyi juga di kawasan perumahan sini.  Ramai penduduk dah pun pergi bercuti.  Di kiri rumah, jiran keluarga Cina balik ke kampung sebelah suaminya di Melaka.  Jiran disebelah kanan pun balik Melaka sebelah keluarga suami juga.  Barulah terperasan rupanya kita orang di apit oleh orang Melaka kiri dan kanan, iaitu kedua-dua suami berasal dari Melaka.

Mengikut pendapat ramai, orang Melaka ni memang jenis ramah, kepuh tapi agak ranggi.  Saya pun tak pandai sangat menilai.  Yang nyata jiran Cina tu lebih mesra, berbudi bahasa dan peka, sementara jiran Melayu adalah angin tinggi sedikit.  Jadi saya sekeluarga lebih rapat dengan keluarga Cinalah.  Nak buat macam mana, kenyataannya kita memang lebih senang dengan orang yang lebih senang didekati.

Oleh kerana ramai orang pergi bercuti, kita orang ambil keputusan tak jadi balik kampung - pegang jawatan penjaga keselamatan tak bertauliahlah untuk beberapa hari ini :)  Lagi pun memang ada kenduri kahwin di rumah saudara di Kelang dan Keramat.  Rasanya takkan rasa sunyi sangat la kut.

Rabu, 10 Februari 2010

SINARAN AKADEMI FANTASIA 8

Saya ikut rasa teruja nak melihat perjalanan Akademi Fantasia Kelapan (AF8) yang bermula pada pertengahan bulan Mach nanti. Bukan apa, saya memang minat dengan kumpulan KRU. Bila mengetahui pengetua bagi musim AF8 ialah Norman KRU, saya rasa tidak sabar pula nak melihat bagaimana beliau akan berkongsi ilmu untuk membantu menambah-baik program realiti tersohor ini dan dunia seni amnya serta AF8 khasnya.

Kelihatannya barisan tenaga pengajar dan pengacara agak mantap. Empat tunggak utama semasa awal musim AF1, 2 dan 3 turut kembali membarisi pasukan ini iaitu Cikgu Fatimah, Cikgu Adnan, Cikgu Siti Hajar dan Cikgu Linda Jasmin. Que Haidar menggalas tanggung-jawap sebagai jurulatih drama, sementara Jimmy Shanley digandingkan dengan Sarimah sebagai pengacara.

Rasanya ini satu pasukan yang mantap. Yalah, Que Haidar sentiasa menunjukkan mutu lakonan yang amat berkesan, sementara Jimmy telah membuktikan kewibaannya mengendalikan rancangan Trek Selebriti yang popular tu.  Sementara barisan tenaga lain sudah membuktikan keupayaan mereka.  Mungkin jika ada Cikgu Motivasi dalam rupa seperti 'Dr Love' akan tambah memeriahkan suasana.

Kata Norman KRU, “Ini bukan kerja saya seorang tetapi secara berpasukan. Kami akan memberi tunjuk ajar kepada semua pelajar AF musim ini dan semoga mereka dapat membina kerjaya seni yang bagus untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Apapun mereka sendiri perlu bekerja keras untuk berjaya ... Mereka terlalu muda untuk membuat keputusan jadi kami bertanggungjawab membantu mereka tidak hilang punca. Pun begitu, sama ada akhirnya akan berjaya atau tidak terpulang kepada mereka sendiri.”

Sama-samalah kita tunggu dan lihat AF8 nanti. Semoga kegemilangan AF kembali menyinar dengan lebih baik lagi dengan sentuhan Norman KRU dan barisan tenaga pengajar serta gandingan pengacara-pengacara ini.

Isnin, 8 Februari 2010

KENAPA JADI BEGINI?

Suatu ketika tak berapa lama dulu  'Eye of Malaysia' dikagumi oleh ramai warga kota dan juga rakyat jelata.  Tapi ia telah menjadi sejarah.  Saya petik berita mutakhir mengenainya di bawah:

Mahkamah benar buka roda gergasi 'Eye of Malaysia'

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Dagang di sini, hari ini membenarkan permohonan syarikat dari Belgium, Fitraco NV untuk memindah keluar roda gergasi 'Eye of Malaysia' dan boleh memasuki tanah milik syarikat "Eye On Malaysia Sdn Bhd."

Mahkamah juga memerintahkan tanah itu dibaikpulih seperti sedia kala selepas roda itu dibuka.

Hakim juga perintahkan defendan pertama, MST Ad Suria Sdn Bhd, membayar kos RM35,000 dan defendan kedua, Eye On Malaysia Sdn Bhd membayar RM10,000 kepada plaintif.
Saya memang bukan pakar.  Tapi saya terfikir kenapalah perkara seperti ini harus berlaku.  Walaupun itu adalah urusan perniagaan dan syarikat terbabit, apa yang terjadi sedikit sebanyak turut menjejaskan nama Malaysia juga.

Ahad, 7 Februari 2010

HANYA KERANA PUTUS CINTA


Sudah dua tiga hari saya duk nak kongsi cerita orang yang putus cinta ni. Entah kenapa, rasa nak ikut komen pulak. Mungkin juga kerana melihatkan betapa ramai anak muda sekarang begitu rapuh semangat mereka dalam menghadapi dugaan dan liku-liku kehidupan ini.

Beberapa hari lepas, ada cerita tentang seorang lelaki berusia lewat 20-an bertindak nekad cuba membunuh diri dengan meminum sebotol ubat kurap di rumahnya, di Kampung Cheras Baru, di sini, gara-gara putus cinta. Mengikut cerita, lelaki berkenaan telah hilang pertimbangan sebaik kekasihnya itu enggan meneruskan percintaan mereka yang terjalin sejak dua tahun lalu. Katanya dia begitu kecewa kerana dia sudah pun berbincang dengan keluarganya untuk meminang gadis berkenaan. Tiba-tiba saja kekasihnya pula menarik diri dan terus tidak mahu ada hubungan dengannya lagi tanpa memberi apa-apa alasan.

Ini hanya salah satu tindakan cubaan membunuh diri yang dilakukan oleh mereka yang kecewa kerana putus cinta. Bermacam-macam rupa tindakan yang tidak wajar lagi kita dengar. Ada yang cuba bunuh diri dengan terjun dari bangunan, menikam diri sendiri, dan berlari ke arah kenderaan yang memandu laju di jalan raya. Tak kurang juga cerita mereka yang merasa kecewa itu terus bertindak ganas untuk mencederakan 'kekasih' mereka pulak.

Saya rasa tindakan mereka seperti ini adalah sesuatu trend yang tidak sihat. Jiwa mereka begitu rapuh. Hanya kerana putus cinta mereka memilih jalan untuk mengorbankan jiwa. Walhal jelas sekali putus cinta itu bukanlah titik noktah kepada kehidupan.

Pihak berwajip mesti mengambil perhatian tentang perkembangan yang tidak sihat begini. Mungkin rangka dan isi modul pelajaran kita perlu dikaji semula untuk menghasilkan satu dasar yang lebih menyeluruh dan mantap dalam membentuk semangat kental dan jitu.

Sabtu, 6 Februari 2010

DAPAT KONTRAK BARU

Kekadang rasa cuak juga bila bekerja begini.  Ya la banyak sangat pesaing .. banyak pula yang hasad dengki.  Tetapi kata kakak angkat saya, kalau kita tak berani kita tak boleh berkecimpung dalam dunia perniagaan atau melibatkan diri dengan majikan yang bergantung hidup kepada perniagaan.  Katanya lagi, jika begitu, kena hidup makan gaji dengan sektor awam saja la.

Sebenarnya saya masih dalam peringkat percubaan ni.  Jika tak dicuba, tak tahu pula.  Dengan sedikit keberanian saya bersetuju berkongsi dengan kakak menjalankan perniagaan ini.  Rasa saya, kakak sengaja menaja perniagaan ini untuk menguatkan semangat saya.  Jadi, saya mesti menghargainya.

Semalam kita orang telah mendapat kontrak baru.  Walaupun jumlahnya tak bernilai jutaan Ringgit, tapi cukuplah untuk menampung belanja sampai ke hujung tahun.  Syukur, Alhamdulillah.

Isnin, 1 Februari 2010

BILA TERPUTUS BEKALAN LETRIK

Duk berehat sambil membaca berita 'on-line' saya tertarik pula dengan berita ini.  Lepas tu nostalgia la pulak .. Saya petik dulu berita ini:
GEORGETOWN: Kira-kira 10,000 pengguna di kawasan berdekatan dengan Sungai Pinang di sini, terputus bekalan elektrik apabila kabel peti pembekal kuasa di Pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) terbakar di sini, hari ini.

Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, Abdul Aziz Jaafar, berkata antara tempat-tempat yang terjejas dengan gangguan bekalan elektrik akibat kebakaran kabel yang berlaku lebih kurang jam 4.45 petang itu termasuklah Jalan Larut, Jalan Chowrasta dan Sungai Pinang.

"Kerja-kerja pembaikan akibat kebakaran itu sedang giat dijalankan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian petang tadi.

Abdul Aziz berkata, sehingga jam 7 malam tadi, kira-kira 80 peratus bekalan elektrik di sebahagian kawasan perumahan yang terlibat berjaya dipulihkan manakala bakinya dijangka pulih kira-kira 9 malam ini.
Seharusnya semua dah pulih sepenuhnya sekarang ni.  Ada masa TNB menepati sasaran.  Tetapi kekadang tu mereka melewati masa juga.

Bukan apa, saya teringat masa di kampung dulu.  Bila terputus bekalan letrik, tergapai-gapai mencari pelita lama.  Bila terjumpa dah minyak tanah pula habis.  Lilin tu memang la tak terbiasa simpan.  Hujung-hujung pakai minyak masak menggatikan minyak tanah.  Api bukan lebih terang, malah terkedip-kedip merah.  Bila mengenangkan semua peristiwa silam begini, rasa lucu pulak. :)