UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Selasa, 30 November 2010

SETAWAR JUGA PENAWAR

Tadi kakak bercerita bahawa seorang saudara kami sedang mengalami penyakit buasir kronik.  Saudara ini sudah pun berada di tahap 4 iaitu dimana darah pekat keluar dari duburnya.

Dengan kata lain saudara kami ini sudah ditahap merbahaya.  Beliau susah untuk meneran kerana buasir berada di luar kawasan dubur.  Nau'u zubillahu min zaliq.  Seram pula mendengarnya.

Saya ingat Mak dan nenek dulu sentiasa ingatkan supaya menjaga sistem penghadzaman dan pembuangan najis.  Antara makanan yang sentiasa disuruh makan ialah betik dan pisang.

Juga mereka nasihatkan supaya tidak meneran jika susah membuang air besar, serta jangan amalkan duduk mencangkung lama-lama.  Jika sudah mengalami masaalah susah membuang najis, terutamanya air besar, mereka nasihatkan supaya cepat-cepat ubati dengan memakan setawar.

Pokok Setawar Kakak

Setawar ini merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai banyak air.   Daun setawar ini dipercayai mengandungi banyak kandungan bahan-bahan berkhasiat.  Elemen atau bahan dalam daun setawar mudah larut dalam air dan juga membentuk larutan seakan sabun.  Selain itu ia mengadungi khasiat yang boleh melembutkan najis.  Oleh sebab itulah setawar ini digunakan untuk merawat penyakit buasir.

Setahu saya ada pelbagai jenis setawar.  Antara yang popular dimanafaatkan khasiatnya adalah setawar seperti gambar di atas yang kakak saya ikut tanam dan juga setawar putih.

Selasa, 23 November 2010

MAKAN BETIK

Hari ini saya berjumpa kawan lama yang kebetulan seorang doktor.  Oleh kerana sudah lama tidak bertemu, kami langsung bersetuju untuk makan tengahari bersama.  Beliau yang belanja saya makan di sebuah restoran terkemuka.

Sambil makan tu beliau sambil bercerita tentang zat-zat makanan.  Maklum sajalah beliau seorang doktor.  Saya ingin kongsikan apa yang beliau beritahu tentang buah betik.

Kebetulan, pemanis mulut kami ialah buah-buahan yang termasuk buah betik.  Teruja dengan penerangannya, saya singgah di pasar Chow Kit dan membeli enam biji betik untuk dibawa balik.

Buah Betik Yang Saya Beli

Kita memang tahu buah betik atau papaya ini mengandungi vitamin C.  Tahapnya saja mungkin ramai tidak tahu.  Katanya buah betik mengandungi dua kali ganda vitamin C jika dibandingkan dengan buah orange. Mengikut kawan saya ini, bagi sekitar 300 gram buah betik, ia mengandungi 200 miligram vitamin C.  Kandungan vitamin C yang tinggi memang diperlukan oleh badan kita untuk kesihatan yang baik

Selain mengandungi vitamin C, betik juga mengandungi kalium dan magnesium yang amat tinggi.  Ianya juga mengandungi zat lain seperti karotena dan flavonoid.  Semua ini berperanan untuk memecah serat makanan sisa.  Jadi kita mudah membuang air besar.

Betik juga baik untuk mengubati usus yang luka serta bantu mengurangkan suhu panas badan.  Ianya baik untuk menjaga hempedu kita.

Khamis, 18 November 2010

SELAMAT BERKORBAN

Bersempena hari raya yang mulia ini, semoga ramai yang melakukan ibadah korban.  Jika tidak pun melakukan korban dengan menumbangkan lembu atau kambing, semoga saja melakukan pengorbanan baik lain yang diredhakan Allah SWT.

SELAMAT HARI RAYA
EIDUL ADHA.
MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Korban wajip menyembelih lembu dan kambing boleh dilakukan dalam tiga hari raya korban ini.  Korban lain boleh dilakukan sepanjang tahun.

Sabtu, 13 November 2010

IBADAH KORBAN

Mula kakak sekeluarga dan saya berhasrat nak balik kampung untuk menyempurnakan korban.  Tetapi dengan musibah banjir di utara sana, tentu sukar bagi pihak yang menguruskan hal ini untuk meneruskan acara ibadah korban ini.

Akhirnya kita orang mengambil keputusan untuk ikut 'join' pengurusan masjid kawasan perumahan kakak saja.  Suasananya tentulah berbeza kerana di sini tak ada acara kenduri kendara.

Malah mengikut kakak, upacara sembelih akan diadakan di tempat lain kerana kawasan lapang di luar masjid adalah amat terhad.  Hanya daging bahagian mereka yang membuat korban saja yang akan diedarkan di masjid.

Benarlah kata orang, lain padang lain belalang.  Jadi terima sajalah dengan redha.

Jumaat, 5 November 2010

TUKAR RANCANGAN

Mengikut rancangan awal tu besok saya akan balik bercuti ke kampung bersama kakak sekeluarga.  Tetapi di utara sana sekarang sedang gawat dengan bencana banjir.

Dengarnya banyak jalan dan kawasan yang dinaiki air hingga ke tahap merbahaya.  Malah katanya ada tempat-tempat di tepi sungai dan peparit yang airnya naik sampai hampir ke bumbung rumah.

Saya ingat lagi tragedi banjir buruk pada tahun 2005 dulu.  Ketika itu arwah isteri saya masih hidup lagi.  Malah bermula dengan musibah itulah arwah dijangkiti penyakit yang dikatakan sebagai barah kulit.  Penyakit ini menambahkan stres, dan penyakit jantungnya pula semakin teruk.  Semuanya itu dihidapi sampai membawa kepada ajalnya.

Mengikut kabar dari abang arwah isteri yang duduk berjiranan dengan rumah kami itu, rumahnya sendiri ditenggelami air hingga mencecah ke alang atap rumah.  Mereka kini semuanya sudah dipindahkan dan di tempatkan di sekolah yang dijadikan markas mangsa-mangsa banjir berlindung sementara.

Oleh kerana keadaan itu, kita orang terpaksa menukar rancangan.  Mulanya kata abang ipar kita pergi bercuti ke sebelah pantai timur.  Tetapi setelah mendapat pandangan ramai, tak jadi juga sebab takut terperangkap banjir di sana pulak nanti.

Akhirnya kami bercadang nak menjejak saudara di Melaka saja.  Sekurang-kurangnya tidak ada ancaman berat cuaca.  Kalau sekadar hujan lebat dan banjir kilat di jalan-jalan tertentu, risikonya tidak tinggi.