UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Rabu, 31 Mac 2010

MALU RASANYA TAPI ......

Siang tadi semasa saya sedang di dalam perjalanan untuk membuat penghantaran bekalan, tayar kereta saya pancet.  Nasib baik juga, dah tak berapa jauh dari destinasi.  Ada juga sebuah parkir bersebelahan.  Cuma ianya adalah parkir yang jauh sedikit iaitu lebih 1 blok dari tempat penghantaran.

Walaubagaimanapun saya sudah tak ada pilihan kerana jika pergi jauh lagi takut akan merosakkan rim tayar pula.  Saya gagahi juga membawa kereta perlahan-perlahan masuk ke dalam parkir berkenaan.

Terkial-kial saya dan pembantu kerana kereta sarat dengan barang bekalan.  Kalau sedakar menurun sedikit barang saja, tentu susah nak jakkan kereta untuk tujuan menukar tayar tu.  Tambahan pula tayar ganti ada dibawah sekali.  Nak diturunkan semuanya, tempat parkir itu tak sesuai kerana kotor dengan pasir dan debu.

Saya menelefon kakak angkat saya.  Kebetulan beliau pun ada urusan di pejabat yang tidak berapa jauh dari tempat saya berada.  Tetapi beliau perlu menyelesaikan urusannya dahulu.  Hampir sejam selepas itu baru beliau datang.

Apabila beliau datang, pertama sekali beliau komen kenapa tidak buat penghantaran sementara menunggu pertolongan.  Bila saya katakan tempatnya di blok yang satu lagi, kata beliau, "..... menunggu di dalam kereta dalam cuaca panas pun meletihkan juga.  Lebih baik berjalan jauh sedikit bekerja daripada letih membuang masa."

Berdesing juga telinga, tapi saya diamkan saja.  Kemudian pembantu mengangkat barang untuk dimasukkan ke dalam kereta kakak saya.

"Kenapa buat kerja dua kali?  Letakkan barang-barang itu di atas troli dan terus pergi hantar dulu," kata kakak yang seperti perintah.  Kita akur dengan mengeluarkan kedua-dua troli dan meletakkan barang-barang seagak muat di atasnya.

Selepas dah diletakkan ke dalam kedua-dua troli, barang yang tinggal di dalam kereta sudah tak berapa banyak lagi.  Bakinya adalah sekitar lebih sedikit dari satu troli.  Sudah mudah nak dijakkan untuk menukar tayar.  Tetapi oleh kerana tayar ada dibawah sekali, terpaksa angkat semua juga.  Kakak suruh letakkan saja selebih barangan di atas troli juga.

Malangnya, saya dan pembantu terkial-kial juga nak menaikkan jak itu.  Selama ini pun saya tak pernah menukar tayar sendiri.  Nasib baik juga kakak angkat saya pandai.  Nampak mudah saja, kerana kakak tahu caranya yang betul.  Tetapi beliau cuma mengarahkan supaya melakukan mengikut cara yang betul .. hehe.

Saya rasa malu dengan kakak kerana beliau nampak bijak menangani masaalah ini.  Tetapi, saya telan juga rasa malu itu.  Saya sedapkan hati dengan mengatakan sendiri, 'beliau berkelulusan tinggi!'  Namun kenyataannya, saya tadi gelabah dan mudah menyerah.  Semoga ini menjadi pelajaran yang baik untuk diri saya.

Ahad, 28 Mac 2010

KESEORANGAN DI HARI MINGGU


Sepatutnya di hari-hari minggu seperti ini kita ada banyak acara kekeluargaan dan kenduri.  Malangnya saya keseorangan pulak.

Pagi semalam isteri saya balik ke kampung kerana ayahnya sedang sakit.  Saya pula tak dapat ikut balik bersama kerana di minggu baru ini ada banyak komitmen kerja.  Mahu tak mahu, terpaksalah duduk berkeseorangan di rumah.  Jika keadaan ayah mertua memberat, paling awal saya hanya dapat ikut balik ke kampung pada hari Rabu yang akan datang ini.

Jadi hari ini dan beberapa hari lagi nanti terpaksalah juga  makan di mana-mana gerai atau restoran mamak.  Awal pagi tadi dah pergi pekena roti telur dan nasi lemak bungkus di restoran mamak yang berhampiran dengan rumah.

Sekejap tadi kakak angkat saya telefon suruh datang makan di rumahnya saja selama isteri balik ke kampung.  Insya Allah, hari ini terjimatlah belanja .. hehe.  Tetapi di hari kerja tentulah susah kerana rumah kakak agak jauh juga.


Jumaat, 26 Mac 2010

SIFAT RAJA TERPUJI

Saya kagum dengan Pemangku Raja Kelantan, DYMM Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra.  Walaupun saya tidak mengenali baginda secara peribadi, saya tetap kagum dengan karektornya.

Dulu kita mendapat berita benar bahawa baginda mesra rakyat di mana baginda sedia berjemaah bersama rakyat secara terbuka.  Hari ini pula kita mendapat kabar bahawa baginda tetap tenang menghadapi kemelut yang melanda iaitu bersabit dengan kedaulatan dan kerabat Kelantan.

Umum sudah tahu tentang keadaan kemelut cubaan "merampas kuasa" raja di Kelantan.  Berita on-line melalui saluran Bernama memetik baginda berkata dengan tenang dan diiringi senyuman, "Tokleh (tidak boleh), Tokleh (tidak boleh), nanti biar sudah. Ginilah kirim salam kat semua orang" apabila baginda ditanya tentang kemelut kuasa di Raja Kelantan.

Saya pernah bertembung dengan baginda suatu ketika dulu di Lapangan Terbang Antarabangsa.  Baginda bukan saja berwajah tampan, tapi juga kelihatan amat mesra dengan semua orang di sekelilingnya.

Isnin, 22 Mac 2010

GARA-GARA MODEM HANCUR!


Saya terputus hubungan dengan Maya gara-gara modem rosak.  Silap saya sendirilah kerana semasa keluar seharian tu terlupa nak menarik keluar plug dan wayar internet.  Kebetulan hari tu hujan lebat dengan guruh petir.

Bila sampai balik di rumah, bekalan letrik sudah pun terputus.  Hari dah lewat malam juga.  Tergagau-gagau pula mencari lilin untuk melihat kotak bekalan utama, dan menekan semula 'switch' utama itu.

Selepas bekalan letrik pulih semula, baru tahu punca bekalan letrik boleh terputus.  Rupanya modem terkena kejutan akibat petir.

Telekom datang untuk lihat dan baiki.  Tetapi mereka kata modem dah hancur.  Ingatkan rosak sedikit saja yang dapat dibaiki.  Jadi terpaksalah beli modem baru.

Setelah menggantikan dengan modem baru pun, internet  masih juga putus-putus.  Mereka kata dah periksa dan betulkan di 'port' ke apa tak tahu, tapi masaalah tu masih juga berterusan.  Hari ini barulah okey.  Inilah baru nak melayan ...... hehehe.

Rabu, 17 Mac 2010

LAWAK YANG MEMUALKAN

Bagaimana la Astro boleh melulus dan menyiarkan cerita-cerita yang begitu rendah nilai budi dan tata susila serta memperlekehkan keupayaan minda manusia.  Jika nak menggalakkan manusia lebih terbuka minda pun bukan sampai ke tahap menghina; kalau nak berlawak pun bukan sampai ke tahap melampau-lampau persendakan gender.

Saya dah tak lalu nak tengok cerita macam 'Dibawah Ketiak Isteri 2' - memang dah over sangat!  Dulu ingat dah habis siri 1, habislah.  Tapi, malah disambung lagi ke siri 2 pula.  Apa punya mentaliti???

Cerita macam 'Kamelia & Katrina' tu pun adalah termasuk di dalam kategori di bawah tahap piawai yang boleh diterima - ada hati nak cakap orang putih lagi, tapi lintang pukang!  Sudah semakin banyak siri-siri drama dan lawak di Astro yang amat menjengkelkan; dan ada yang sudah amat meloyakan.

Orang ramai dah pun merungut, tapi mereka merungut di luar sajalah.  Kebanyakan mereka pun masih terpaksa membayar caj bulanan juga.  Apa nak buat!  Kerajaan dah beri mereka kuasa monopoli!

Sabtu, 13 Mac 2010

MEMANG PANAS!!!

Waduh panas betul berita tentang seorang pelakon lelaki popular yang telah di tahan reman itu. Di mana-mana sampai hari ini, asal jumpa orang kenal saja terus keluar cerita ini.

Pelbagai tekaan dan andaian pula dibuat. Ada beberapa orang kata mereka tahu siapa pelakon itu, tetapi tak hendak pula memberi tahu kerana takut nanti kena saman malu.

Nampaknya, kita kena tunggu perkembangan selanjutnya dari berita ini. Sudah pasti dalam sedikit waktu lagi keluarlah maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kes ini.

Isnin, 8 Mac 2010

AMALAN MEMBACA AYATUL KURSI

Sebelum Maghrib tadi, seorang anak jiran yang berumur sekitar lima tahun terjatuh di longkang tepi pagar dan menjerit seperti histeria.  Saya dan jiran tak tahu nak berbuat apa.  Kami baca beberapa Ayat-ayat Al Quran, tetapi anak jiran saya terus meronta dan menjerit-jerit.

Nasib baik juga ada seorang jiran lain yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang baik lalu untuk pergi ke Masjid.  Beliau meminta garam dan lada.  Kemudian beliau membaca beberapa Ayat Al Quran sambil memegang kepala dan kaki kanak-kanak berkenaan.  Selepas lebih kurang lima belas minit, anak jiran tu pun pulih.  Jiran yang memulihnya terus menabur garam dan lada di sekitar halaman serta juga di atas bumbung rumah.

Kami diberitahu bahawa pokok besar di seberang jalan berhadapan rumah jiran saya itu sekarang diduduki oleh makhluk halus.  Rupanya sebelum peristiwa jatuh longkang itu, anak jiran saya bermain dengan pembantu rumah di bawah pokok berkenaan.  Kata jiran yang memulihkannya, mungkin lebih baik jika kami berusaha meminta ulama datang memulihkan tempat berkenaan, kerana makhluk halus yang dikatakan olehnya telah menetap di situ.

Seram dan ketakutan dibuatnya.  Walaupun begitu kami sekelian diberitahu jika kita menunjukkan kita takut dan lemah, kita akan sentiasa mudah diganggu.  Kami dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan bacaan Ayatul Kursi, terutama sekali selepas solat dan juga setiap kali kami berada di kawasan berdekatan dengan pokok berkenaan.

Saya teringat pesan kakak saya untuk sentiasa amalkan membaca Ayatul Kursi ini supaya sebati dengan diri.  Katanya Ayatul Kursi  merupakan ayat yang paling agung kerana mengisahkan keagungan Allah serta kekuasaan-Nya yang tidak terbatas.  Tambahnya lagi, kita  perlu membaca Ayat ini untuk mendapat keredhaan serta perlindungan Allah SWT dari segala kejahatan manusia, jin dan syaitan.

Oleh kerana saya nak menceritakan peristiwa ini, sekejap tadi, saya google mencari Ayatul Kursi ini.  Di bawah adalah Ayatul Kursi yang agak baik dan jelas.
بِسْمِ اﷲِالرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم


Maksud dan pengertian:

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Dan Maha Penyayang

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Tiada Dia mengantuk, Tiada pula tidur. BagiNya segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada satu apa pun yang mampu memberi syafaat (pertolongan) kecuali dengan izinNya. Yang Mengetahui segala yang ada di hadapan dan apa yang ada di belakang mereka; Tiada mereka mengetahui sesuatu pun akan ilmuNya melainkan atas kehendak izinNya. Luasnya Kursi Allah (ilmu dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya; dan Dialah Yang Maha Tinggi serta Maha Besar kekuasaanNya.
Sama-samalah kita cuba melatihkan diri untuk sentiasa membaca Ayatul Kursi ini.  Semoga kita sentiasa dipelihara dan dilindungi.

Khamis, 4 Mac 2010

TURUT GEMBIRA JUGA


Sebenarnya saya sedang amat sibuk ni sebab saya perlu selia penghantaran barangan.  Tetapi baru sekejap tadi saya mendapat panggilan telefon daripada sepupu mengatakan dia juga sudah ikut blogging.

Saya turut gembira dengan kehadirannya.  Jadi, saya segera membuka blog untuk memberi sokongan moral kepadanya.  Semoga dia rasa senang.

Harapan saya supaya semua yang sudi mengikut saya sekelian itu sudi juga mengikut sepupu saya.  Namanya bloggingnya ialah 'CIKDAH.'  Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.