UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Sabtu, 26 Februari 2011

TERINGAT MEE ABU

Biasanya hari Jumaat, umat Muslim keluar dari kerja awal diwaktu tengahari.  Memang cukup waktu untuk makan tengahari dan bagi menunaikan fardhu Jumaat.

Saya terawal pula semalam.  Oleh kerana ada banyak masa, saya singgah dulu di restoran Mamak di TTDI untuk makan mee rebus.  Kiranya boleh tahan juga rasanya.

Mee Rebus Mamak

Walaubagaimanapun mee rebus itu tidak cukup ummphnya. Waktu itu saya teringat pula Mee Abu di Jalan Teluk Wan Jah, Derga, Alor Setar.  Terbayang keenakannya yang lebih dengan adanya paru dan juga kuahnya yang lebih sedap.  Aduhhh!

Isnin, 21 Februari 2011

IBU JADI NYANYUK

Saya dan kakak rasa semakin sedih dengan perkembangan Mak, iaitu ibu angkat saya.  Sejak beberapa bulan kebelakangan ini Mak sepertinya sudah berada di dalam alam fantasi ciptaanya sendiri.  Nampak jelas beliau semakin bertambah nyanyuk.

Doktor mengesahkan bahawa perkembangan ini adalah kerana faktor usia.  Di samping itu perkembangan alam sekitar juga ada impaknya.

Memang umumnya kita semua tahu bahawa semakin lanjut usia seseorang, perkembangan tumbesaran akan menjadi terbalik.  Apabila melewati umur tua, insan akan balik ke alam kanak-kanak pula.

Mak sekarang sudah pun berusia lewat 80an.  Memang jelas beliau sudah sampai ke tahap ini.  Beliau mudah merajuk dan berlagak keanak-anakan.

Beberapa hari lepas kakak sudah tidak yakin Mak mempunyai rasional dewasa.  Kakak mengambil kunci pagar kecil untuk keluar rumah kerana takut Mak akan merayau keluar sendirian.

Ini adalah ekoran Mak sering keluar ke jalan luar dan berjalan tanpa tujuan tertentu.  Sudah beberapa kali juga Mak menghilang ketika dibawa keluar makan diluar dan mengambil angin di taman.  Jenuh juga kami semua mencari.

Bila ditanya Mak memberi beberapa versi alasan yang berubah-rubah ceritanya.  Umpamanya, ada masanya beliau katakan beliau mencari kawannya yang datang bersama dengannya; ada pula kerana beliau nak ke perhentian bas untuk balik rumah.

Selasa, 15 Februari 2011

MAULIDUR RASUL

Alhamdulillah, hari ini sekali lagi kita menyambut Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW.  Sebagai tanda kasih kepada baginda, eloklah kita melakukan sesuatu yang dapat membuktikan tanda kasih kita itu.

Setiap hari kita berikrar, 'Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.'   Allah SWT menyeru supaya kita wajip menjunjung kasih terhadap Rasul Allah SAW.  Kita tiada pilihan untuk ketaatan ini jika kita beriman.

Sebagai mengingati hari keputeraan Baginda hari ini, tentu amat baik jika kita melakukan ibadah yang akan sentiasa lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan Baginda Rasulullah SAW.  Di antara ibadah terbaik ialah dengan memperbanyakkan Zikrullah, Salawatul Nabi serta bersedekah dan amal jariah.

Khamis, 10 Februari 2011

PERUBAHAN SIKAP

Hari ini seorang Ketua Pengarah di sebuah jabatan kerajaan memberi saya cenderahati yang berupa sebuah kitab surah Yaasin dengan terjemahan dan juga Himpunan Doa Makbul.  Keduanya diikat dengan riben.  Tapi saya buka la untuk mengambil gambarnya.


Hairan juga di dalam hati di atas perubahan sikapnya.  Selama ini beliau merupakan seorang yang amat cerewet dengan segala bekalan yang dihantar.  Ada-ada saja komplennya.  Tetapi hari ini beliau berkelakuan berbeza.

Dalam hati terdetik juga, 'buang tebiat agaknya!'  Tapi mulut tu sekadar mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.  Saya tak mahu merosakkan keadaan pula.  Terima sajalah kebaikannya dengan hati yang terbuka.

Ahad, 6 Februari 2011

LINE TERUK SIANG HARI

Dua hari lebih line saya sangat teruk, terutamannya di waktu siang.  Awal malam pun asyik drag saja.  Tak tahu la kenapa.  Mungkin overload kerana kegunaan cuti Raya Cina ini ataupun kerana cuaca di mana hujan turun siap dengan guruh petir tu.

Jadi inilah saya cuba di awal pagi pula.  Nampaknya lebih baik, malah selesa juga.  Mudah saya berjalan di tengah malam/awal pagi ni.  Alang-alang terus buat N3 cerita sekali.  :)

Sebenarnya awal malam ni tadi nak buat N3 untuk cerita pasal pergi jalan dan makan kenduri bersama kakak sekeluarga.  Sekarang dah hilang mood nak cerita pasal tu lagi sebab macam dah basi pulak.

Khamis, 3 Februari 2011

RAKYAT MALAYSIA DI MESIR SELAMAT

Syukurlah semua warganegara Malaysia, termasuk penuntut kita di Mesir sana semuanya berada di dalam keadaan selamat.  Tetapi mengikut berita terkini, keadaan atau suasana di sana pula semakin meruncing.

Semalam CEO AirAsia memberi komitmen untuk mengeluarkan warga Malaysia di Mesir dengan khidmat penerbangan AirAsia sendiri.  Kita sebagai rakyat biasa merasa bangga dan kagum dengan tahap kewajipan sosial yang tinggi oleh tokoh koporat ini.

Hari ini selepas desakan memuncak, akhirnya kerajaan bersetuju mengambil tindakan.  Sumber berita Bernama mengatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk menghantar tiga buah kapal terbang tentera bagi usaha mengeluarkan rakyat kita dari Mesir.

Mengikut sumber ini juga, petugas pesawat tentera akan melakukan operasi terus menerus selama 24 jam untuk membawa keluar seramai anggaran 14,000 orang rakyat Malaysia kita.  Kedua-dua syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia juga turut menjalankan operasi untuk membawa keluar warganegara kita dari Mesir.