UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Isnin, 26 April 2010

TAK CUKUP SOKONGAN

Seharian juga saya dan isteri di Hulu Selangor, sementelah di jemput bersama-sama makan di rumah kawan.  Sebenarnya, keluarga itu adalah kawan rapat adik sepupu saya yang juga berada di sana.

Seronok jugalah berjumpa dengan orang se kampung.  Tak juga betul-betul sekampung, tapi, kami semua berasal dari kawasan yang sama iaitu Alor Setar.  Jadi selera makan dan sebagainya pun memang ada banyak persamaan.

Lagi pula semalam tu katanya adik sepupu saya yang menerajui dalam urusan menyediakan makanan.  Jadi ada gulai rebung ayam, daging bakar cicah air asam, sambal udang petai, pajri terung, kerabu tauqey, ikan masin goreng dan ulam-ulam.  Lepas ada bubur kacang campur jagung, karipap dan agar-agar untuk makan petang.  Pendeknya 'kenyang sampai ke temolok' kata orang utara.

Walaubagaimanapun, saya sedih kerana Dato' Zaid kalah disebabkan tidak mendapat cukup sokongan.  Ramai yang tidak menyokong BN pun masih memilih untuk pangkah BN juga.  Begitulah kuasa wang dan kedudukan.  Rasuah dan langkah rakus secara terang-terangan pun direstui juga.  Dunia!!!

Ahad, 25 April 2010

KERANA HATI KU IKUT JUA!

Chewaahh, sudah jadi tajuk jiwang la pulak.  Tapi itulah sebenarnya.  Hati ini dah teringin ke tahap gian nak melihat sendiri suasana di Hulu Selangor yang sedang 'beraya' kerana nak memilih wakil rakyat baru.

Sudah dua hari saya skodeng jer dari jauh.  Nak hampir takut juga terperangkap dengan apa-apa peristiwa yang mungkin tercetus.  Mana tidaknya, perasaan penduduk dah disensasikan dan polis pula mendatangkan kontigen besar ke sana.  Salah langkah sikit saja akan memungkinkan berlakunya pergaduhan.  Jadi saya mesti bersikap rasional.

Semalam ada seorang sahabat keluarga yang mempelawa untuk datang makan-makan di rumahnya di Serendah hari ini.  Bagaikan orang mengantuk disorongkan batal.  Saya membuat keputusan untuk menerima pelawaan itu.

Sahabat itu menjemput datang untuk makan tengahari hingga membawa ke saat saya sendiri mahu pulang.  Kira-kira sampai keputusan diumumkan la tu.  Ini saya sudah pun bersedia nak pergi.  Tapi nak juga buat N3 ini dulu.  Hehehe.

Khamis, 22 April 2010

HATI INGIN TAPI ...

Kalau ikutkan hati, saya memang nak sangat berada di Hulu Selangor.  Ya la, asyik dengar cerita orang dan berita terpesong melalui media arus perdana saja.

Jadual kerja sampai esok petang baru selesai.  Macam mana nak pergi tu?  Katanya, di sana dah penuh dengan fleet polis!  Salah-salah langkah karang, langsung tak boleh hampir pun ke kawasan berkenaan.

Agaknya, masa macam-macam begini, banyak orang ikut pasukan pekerja UMNO dan BN sebab polis akan lepas masuk.  Tapi rasa tak jujur pulak begitu!

Nampaknya, terpaksa akur dengan mendengar cerita melalui saluran-saluran yang ada sajalah.  Terkilan sungguh!

Saya ikut saranan Dato' Nik Aziz la.  Amin, amin.  Pasal apa?  Sebab dah tak larat nak dengar temberang melampau!

Isnin, 19 April 2010

BERKELAH DENGAN KELUARGA

Di hari minggu yang baru kelmarin beberapa ahli keluarga berkumpul.  Semua bersetuju pergi berkelah di Taman Titiwangsa untuk santai-santai bersama.

Seronok juga bila pergi ramai-ramai bersama begitu.  Sudah lama kami tidak berkesempatan untuk duduk dan lepak santai bersama.

Sebenarnya acara ini dilakukan secara 'ad hoc' saja.  Petang hari Sabtu, keluarga datang.  Malamnya, anak-anak menyatakan nak naik kuda.  Jadi semua setuju untuk pergi ke Taman Titiwangsa kerana ada tempat yang memberi khidmat menaiki kereta kuda berhampiran di sana.

Menjamu Selera 1

Menjamu Selera 2

Malamnya tu kaum wanita sibuk juga memasak ala-ala kadar.  Awal-awal pagi mereka sambung memasak.  Selepas pukul 9 pagi, kami dah bertolak ke sana.

Lama juga kami sekelian berada di sana.  Ada yang jalan-jalan sepanjang Taman Tasek Titiwangsa bersebelahan dengan tempat masuk utama.  Anak-anak pula pergi menaiki kereta kuda.  Yang lebih berumur pun berjalan juga melihat orang memancing.

Pendeknya acara keluarga ini amat menyeronokkan.  Masakan yang serba ringkas pun semuanya sedap.

Isnin, 12 April 2010

MENITI HARI-HARI TUA

Tadi waktu tengahari, saya, pemandu dan seorang pekerja lagi terpaksa membeli nasi campur bungkus kerana tidak dapat tempat parkir di tempat makan berhadapan Balai Polis di New Town.  Kami menghala pergi ke tempat duduk di Tepi Tasik Taman Jaya.  Di sana kami berjumpa dengan seorang tua yang sudah berumur lebih dari 81 tahun yang juga sedang duduk makan di situ berseorangan saja.

Mak Cik ini amat menarik perhatian.  Beliau begitu ceria menceritakan bahawa hidupnya sudah sempurna.  Katanya, hidupnya sudah melepasi 30,000 hari, dan sekarang beliau sedang terus mengharungi hidup dengan gembira, tenang dan damai.

Beliau bercerita bahawa hampir semua saudara mara, dan kawan-kawan sudah tidak ada.  Kedua orang anaknya pula sudah lama berhijrah ke luar negara.  Oleh kerana beliau tidak mahu ikut bersama mereka, beliau menerima hari-hari mendatang seadanya.  Beliau tidak risau kerana beliau mempunyai punca kewangan yang cukup teguh kerana arwah suaminya dulu adalah pesara kerajaan peringkat menengah.

Mengikut ceritanya juga, hampir setiap hari beliau akan ke Tasik itu kerana tempat itu melambangkan kehidupan.  Beliau pun tinggal tidak jauh, jadi tidak menjadi masaalah untuk beliau ke situ.  Katanya kekadang beliau membawa bekalan sendiri, dan di hari-hari lain beliau hanya beli dari penjual di Taman itu.

"Kita tidak boleh memilih sendiri cara kematian kita.  Jadi, biarlah kita cuba mengatur cara hidup kita mengikut selera kita sendiri.  Tuhan punya perancanganNya.  Saya akan terus menjalani hidup ini dengan berani dan syukur.  Umur mematangkan kita, dan kita mesti ada keyakinan.  Saya masih kuat, sihat dan gembira."  Begitulah ceritanya.

Ada harinya beliau akan pergi menziarahi saudara dan kawan yang masih ada tetapi sedang terlantar sakit.  Beliau menegaskan bahawa beliau tidak mahu menjadi seperti mereka yang terbaring sendirian.  Katanya mereka itu berhati dan wajah murung kerana sakit, rasa tersisih, dan resah menunggu saat kematian.  Semuanya itu hanya semakin menambahkan penderitaan mereka.

Di akhir pertemuan, beliau berkata dengan tegas kepada kami bertiga, "anak-anak juga jangan sekali-kali mengalah kepada takdir begitu!"

Selasa, 6 April 2010

DAH RIUH PILIHANRAYA

Tadi saya pergi membuat hantaran bekalan di sebuah pejabat di kawasan Parlimen Hulu Selangor.  Dah meriah kawasan itu dengan bendera parti dan juga poster orang atas BN.

Agaknya sekali ini memang tidak ada larangan untuk meletakkan bendera dan poster sebelum hari penamaan calun seperti di kawasan lain dulu itu.  Betul la juga.  Pada hari Suruhanjaya Pilihanraya buat pengumuman tentang hari yang ditetapkan untuk hari penamaan calun dan hari mengundi, atasan dan pembesar parti dah mula berkukuk di sana.

Seronok juga orang Hulu Selangor yang sudah dijanjikan dengan sekolah baru, peruntukan tambahan dan entah apa-apa lagi.  Saya pun tak ingat.  Yang nyata pemimpin dan jentera BN sudah mula pastikan agenda mereka ialah untuk berada di kawasan Parlimen Hulu Selangor.  Tentunya sampai ke hari mengundi nanti.

Kalau saya jadi pengundi berdaftar di sana, saya tentu akan menerima segala yang diberi.  Semuanya pun duit semua rakyat Malaysia juga.  Tak gitu?

Ahad, 4 April 2010

TERFIKIR-FIKIR LA PULAK

Saya baca N3 ddrfauziah mengenai ginseng tu.  Seperti biasa beliau selalu paparkan kelainan dan N3nya tu amat informatif.

Jika difahamkan, memang ginseng tu boleh jadi penawar yang mujarab.  Tetapi bagi kita yang dah masuk golongan lewat dewasa ke orang lama, macam ada banyak pula sekatannya.  Jadi, saya terfikir macam mana orang yang selalu suka minum kopi ginseng dan sebagainya tu.

Mungkin itu agaknya sebab orang jadi tiba-tiba mendapat serangan jantung dan koma serta sebagainya tu.  Kata ddrfauziah mereka harus berjaga-jaga, tapi promosi benda-benda ini amat meluas.  Itu yang saya terfikir-fikir pulak.  Macam mana nak buat?

Sabtu, 3 April 2010

SALAM TAKZIAH

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Din Beramboi yang telah kembali ke Rahmatullah pada malam Jumaat dan juga telah selamat dikebumikan semalam.  Dari Allah kita datang, dan kepadaNYA kita dikembalikan.  Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, amin.

Didoakan juga semoga balu dan anak-anaknya tabah menghadapi dugaan ini, amin.