UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Isnin, 25 April 2011

BALIK KAMPUNG

Sebenarnya letih lagi ni.  Tapi alang-alang sudah terjaga kerana tertidur awal tadi, jengah blog juga la.

Kiranya dua hari, 1 malam, kita orang balik kampung reramai bersama kakak sekeluarga dan sepupu sekeluarga.  Riuh gamat juga dibuatnya.

Memang tak ada tujuan khusus.  Apabila kakak usulkan semua pergi jalan balik kampung saja minggu ini, semua setuju.  Jadi semua terus pek pakaian, masuk dalam kereta dan jalan.

Kiranya seronok jugalah.  Dapat ziarah kubur dan juga saudara mara terdekat yang masih ada.

Ahad, 17 April 2011

BN MENANG DI SARAWAK; YAKIN ADA PILIHANRAYA UMUM

Walaupun sambutan begitu amat meyakinkan, Pakatan Pembangkang tidak berjaya menumbangkan BN.  Ternyata elemen Sarawak sukar untuk dibaca oleh orang luar Sarawak.

Saya berpeluang duduk di Sarawak untuk setahun lebih juga.  Kebetulan masanya tu bertembung dengan satu pilihanraya umum peringkat negri seperti ini.

Apa yang saya amat rasakan ialah sentimen orang sana memang amat berbeza.  Selain amat berwaspada dengan orang 'Malaya' yang bermaksud orang Semenanjung, mereka juga jenis orang yang simplistik dan sentiasa menghargai kebaikan orang.

Bila masa pilihanraya seperti ini, macam-macam 'hadiah' yang BN beri.  Sampai ke pagi hari mengundi pun masih ada huluran-huluran buah tangan serta umpan pancingan undi.

Hanya ceramah umum berskala besar dan ramai yang terpaksa berhenti.  Ceramah secara perseorangan dan kumpulan-kumpulan kecil tetap dijalankan.  Kiranya durian terus runtuh hingga ke saat mereka akan ke pusat-pusat undi.

Dengan kemenangan majoriti 2/3 di Sarawak, sudah pasti pilihanraya umum seluruh negara akan diadakan di dalam waktu terdekat ini.  Saya yakin sekali.  Sudah ada banyak tanda-tanda dan isyaratnya.

Isnin, 11 April 2011

KEPUTUSAN CEMERLANG BELUM MENCUKUPI

Petang semalam sewaktu minum petang, kawan-kawan berdebat mengenai tentang sifat nasionalistik dan patriotik di kalangan remaja, khususnya remaja lepasan sekolah.  Tiba-tiba saja itu menjadi topik panas.

Sebenarnya ini adalah ekoran berita peratusan kelulusan SPM yang lebih baik tahun ini.  Lebih ramai bekas pelajar SPM mendapat banyak keputusan 'A' bagi mata-mata pelajaran penting seperti sains, matematik dan bahasa.

Ramai orang beranggapan bahawa keputusan cemerlang belum mencukupi.  Fokus kita mesti berpusat kepada samaada pelajar-pelajar berkenaan telah berjaya dibentuk menjadi warganegara yang baik dan patriotik.

Perdebatan adalah tentang kewajaran anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang itu menerima biasiswa dan bantuan kewangan.  Kebanyakan tidak setuju untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringakat pengajian tinggi dengan biasiswa dana negera hanya kerana keputusan mereka cemerlang.

Kalangan cerdik pandai berpendapat penekanan patut diberi kepada kualiti warganegara.  Malaysia akan kukuh berdaulat dan berwibawa jika warganegara mencintai negaranya.

Kalau sekadar menjadi pelajar cemerlang, banyak yang mudah gelap mata dan akan lebih menilai imbalan atau pulangan material.  Ramai kalangan ini tiada mempunyai semangat dan jiwa mempetahankan maruah diri dan negara.

Apa yang telah terjadi selama ini membuktikan bahawa keputusan akademik yang cemerlang memang belum mencukupi.  Seorang anak watan mesti dilengkapi dengan didikan supaya mereka berhati dan berjiwa Malaysia.

Jumaat, 1 April 2011

FAKTA ANGIN GAS DARI PERUT

Hari ini tadi saya ikut duduk bercerita dengan pakar-pakar medikal dan sains.  Sebenarnya salah seorang dari mereka adalah anak buah saya sendiri.

Selepas membuat penghantaran bekalan tadi terserempak pula dengannya.  Kemudian beliau ajak pergi makan tengahari bersama.

Bila duduk makan dan minum dengan orang-orang intelek, kita pun ikut berlagak seperti orang pandai jugalah.  Tapi, memang tak berani sangat nak mengutarakan pandangan.

Dalam bercerita tu keluarlah kisah kempen menutup lampu selama sejam tu.  Macam-macam hujjah dibahaskan.

Tetapi saya tertarik dengan kenyataan mereka tentang fakta angin gas dari perut.  Kekadang fakta pun boleh menggelikan hati.

Kata mereka angin gas dari perut mempunyai impak serious kepada udara dan alam sekitar.  Umpamanya sendawa dan kentut dari haiwan peliharaan seperti lembu mengandungan gas 'methane' yang beracun.

Mengikut fakta yang mereka berikan, gas ini mempunyai kesan negatif terhadap kehijauan alam sekitar.  Seekor lembu saja boleh mengeluarkan sehingga melebihi 100 gelen gas 'methane' sehari.  Mengikut statistik pencemaran berpunca dari binatang ternakan ini hampir mencecah 20 peratus.

Memang kedengarannya lucu.  Kita seperti tidak percaya dan sentiasa mengambil ringan tentang hal ini.  Rupa-rupanya mereka mengancam persekitaran kita.