UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Ahad, 20 November 2011

UPDATE SAJA

Lama pula tak update di sini.  Macam kata orang la - Duk bertagak nak buat saja, maka tak jadi-jadi!

Malam tadi dah terlalu letih sangat.  Tapi memang dah buat azam nak bangun awal hari ini dan mencari waktu untuk jelajah Maya.  Sekejap saja la; namun sekurang-kurangnya dapat juga buat update.  :)

Soalnya hari ini ada tugasan khas.  Kakak minta tolong jadi 'tour guide' sepenuh hari pula.

Saya di tugaskan membawa sanak-saudara yang datang dari kampung untuk pergi menghadiri majlis perkahwinan saudara di Melaka.  Kemudian ditugaskan untuk langsung membawa mereka jalan ke mana yang mereka inginkan.

Jadualnya selepas solat Subuh terus sarapan.  Memang dah dengar riuh di dapur tu.  Setelah sarapan nanti kami akan bertolak.  Ini adalah kerana mereka nak singgah di rumah seorang saudara di Seremban dulu sekejap.  Aduhai!

Ikutkan hati dan rasa, memang malas.  Tapi kasihan pula kerana kakak sudah ada jadual lain yang padat.  Jadi permintaan kakak harus juga dipenuhi kerana beliau sekeluarga sentiasa amat baik.

Selasa, 1 November 2011

BZ GILER LAGI

Lama tak buat N3.  Beginilah selalunya apabila sudah ke penghujung tahun.  Lazim sentiasa semakin bz jadinya.

Apa nak buat?  Terlalu banyak jabatan suka buat pembelian lewat untuk menghabiskan peruntukan mereka.

Tapi walaubagaimanapun, memang rezeki saya sudah begini.  Jadi terimalah juga dengan rasa penuh kesyukuran.

Kalau komplen, takut juga lari rezekinya.  Kata orang, 'rezeki jangan ditolak!'  :)

Ahad, 16 Oktober 2011

PENGURUSAN KEWANGAN

Jelas sekali ramai orang mempunyai masaalah kewangan.  Banyak kes di mana individu terlibat tidak pandai menguruskan kehidupan sesuai dengan pendapatan mereka.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang kononnya adalah untuk cuba menangani masaalah ini.  Antara langkahnya ialah dengan mengenakan cukai perkhidmatan ke atas kad kredit.  Tak tahu apa logikanya la kerana itu jelas menambahkan perbelanjaan.

Kemudian juga Bank Negara telah menaikan syarat pendapatan minima tahunan  kepada RM24,000 bagi pemohon kredit kad baru.  Tujuannya supaya menghadkan perbelanjaan berlebihan bagi mereka berpendapatan di bawah paras itu.

Satu lagi syarat ialah mereka yang berpendapatan tahunan sebanyak RM36,000 ke bawah dihadkan kepada dua punca pemberi kad kredit sahaja.  Had maksima kredit juga adalah terhad kepada dua kali ganda pendapatan.

Berkesankah langkah sebegini? Rasanya kurang meyakinkan.  Apa yang paling penting ialah sikap individu sendiri.

Khamis, 6 Oktober 2011

KE MANA KITA NAK DIBAWA?

Dari lahir hingga kini, ramai rakyat yang lahir di Malaysia bangga menjadi anak Malaysia.  Perasaan ini lebih nyata bila kita berada di luar negara dengan hanya segelintir anak bangsa yang ikut bersama.

Tapi kenapa ramai pemimpin mahu memesong kita.  Ke mana kita mahu dibawa.

Terlalu banyak agenda sendiri dan terlalu banyak kegeselan dan kemarahan yang dibangkitkan.  Walhal sepatutnya mereka jujur menyatukan rakyat dan membawa negara dan rakyat ke mercu kejayaan dan kebanggaan yang lebih baik!

Selagi pemimpin negara mempunyai sikap, 'Kami betul!' pada setiap masa dan dalam semua hal, selagi itulah mereka tidak boleh dipercaya.  Mana ada manusia yang fitrahnya tidak sempurna boleh sentiasa betul!

Sabtu, 17 September 2011

KECUH PASAL 'GATED COMMUNITY'

Di ketika kita sibuk buat persediaan mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri, masyarakat di perumahan kami sibuk pula menggesa pemilik dan penduduk supaya menandatangani surat persetujuan untuk menjadikan kawasan perumahan ini kawasan berpagar.  Lepas tu bertalu-talu mereka yang mahukannya mendesak semua orang setuju.

Sana sini memang banyak kawasan sudah meletakkan penghadang, 'boom-gates' serta pengawal di permulaan jalan masuk ke rumah-rumah penduduk.  Tapi ramai juga yang tidak setuju.

Pertama sekali kerana tiada peruntukan untuk menukar kawasan ke perumahan berpagar.  Kemudian, bagi sesetengah orang seperti kami memang tidak setuju konsep ini.

Apa tidaknya.  Sekarang, nak pergi ziarah saudara dan kawan pun terpaksa menjawap macam-macam soalan dari pengawal yang bertugas.  Kemudian kena tinggal butir-butir peribadi pula.  Susah betul!

Bila ramai penduduk kawasan perumahan kakak pun sibuk mahu ikut membuat kawasan ini sebagai 'gated community' sebilangan pemilik/penduduk seperti abang dan kakak mendiamkan diri.  Tapi yang mahukannya tetap menesak.  Lepas satu notis, satu lagi dan berterusan lagi mereka menghantar notis dan minta tanda-tangani  setuju.

Kebetulan di jalan rumah kakak, majoriti tak setuju.  Hanya dua pemilik saja menghantar balik surat bersetuju.  Selebih sembilan pemilik lagi tidak berbuat demikian.

Sekarang mereka menghantar beberapa wakil berkali-kali untuk mendapatkan persetujuan juga.  Hasilnya tetap sama juga iaitu yang tidak setuju tidak memulangkan borang setuju.

Sama-sama berkeras nampaknya.  Kan dah menjadi kecuh pula!

Rabu, 31 Ogos 2011

Umat Islam merayakan kejayaan Ramadhan dengan menyambut Aidilfitri. Saya beraya bersama kakak dan keluarganya.
SELAMAT
HARI RAYA
A I D I L F I R I
Hari ini pula adalah hari kebangsaan kita. Alhamdulillah.
SELAMAT
HARI MERD EKA

Ahad, 14 Ogos 2011

DUGAAN

Sudah lama juga saya tak bersiaran.  Sebenarnya ada berlaku sedikit musibah.  Kiranya dugaan untuk kami sekeluarga.    Semua pun redha saja.

Kini sudah masuk minggu kedua kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia tahun ini.  Cepat betul masa berjalan.

Marilah kita sama-sama memanjat doa semoga kita dipanjangkan umur dan diberkati kesihatan yang baik. Mudah-mudahan kita dapat mempertingkatkan segala amalan yang baik.

Tidak terlambat untuk saya turut ucap selamat kepada rakan-rakan yang sudi berkunjung ke sini.

SELAMAT BERPUASA
&
SELAMAT BERIBADAH DENGAN BAIK

Jumaat, 15 Julai 2011

RATA-RATA ORANG KELIRU

Secara sekilas pandang, mereka yang sokong satu-satu pihak memang terus sokong dan dokong saja. Mereka pekakkan telingan dan butakan mata kepada semua pihak lain.

Jadi yang BN tegar dan antiBN tegar sama saja pendekatan mereka. Mereka semua betul, semua orang lain salah; pemimpin mereka yang betul, pemimpin lain salah!

Teruk betul mentaliti sebegini. Aku memang tak mengerti kenapa masih ada orang sebegini di era moden dan maju sekarang.

Hakikatnya, semua orang hanya manusia biasa yang tidak sempurna. Tidak satu orang pun yang semuanya benar dan betul. Semua orang ada salah dan cacatnya.

Apa yang nyata, ramai orang ada kepentingan. Apabila kepentingan sendiri diletakkan ditahap maksima, manusia menjadi paling lemah. Nafsu dan syaitan menjadi raja!

Apabila mereka mengikut nafsu, memang haru. Rata-rata, orang ramai ikut terkeliru!

Ahad, 3 Julai 2011

BZ PUN BUAT STRESS

Dua bulan kebelakangan ini terlalu banyak order mesti dipenuhi.  Kakitangan pula tak cukup kerana sukar mendapat tahap kemahiran dan kepercayaan yang dicari.

Jadi hujung-nya, diri sendiri terpaksa kerja lebih dengan ikut membantu dalam pengangkutan juga.  Memang bz tahap maksima rasanya.

Bila terlalu bz begini, badan terlalu letih dan emosi pun agak rapuh.  Rupanya bila bz pun buat kita stress.

Selasa, 21 Jun 2011

LAKSAM KELANTAN BUATAN KEDAH

Sudah dua tiga hari kakak kata nak buat laksam.  Balik kerja tadi, laksam sudah sedia dibuat.

Kakak bertanya samaada nak terus makan.  Tapi badan rasa tak selesa sangat sebab hari ini agak panas.  Jadi rehat dan mandi dulu la.

Masa makan malam tu ada pilihan seperti biasa.  Tapi hari ini pilihan makanan berat-berat la pulak.  Saya memilih untuk makan laksam.


Lihatlah hidangan di atas.  Begini lah rupanya laksam Kelantan bikinan orang Kedah.

Perbezaan yang paling ketara ialah kakak buat kuah dengan isi ikan yang banyak.. Kakak juga buat cili padi tumbuk menggantikan sambal dan belacan.

Biar bagaimanapun, rasanya amat enak.  Pedasnya ikut selera utara la!  :)

Ahad, 12 Jun 2011

BZ DAN TERLEBIH KERJA

Nampaknya angin memang kencang bahawa pilihanraya akan diadakan dalam tahun ini juga.  Order untuk bekalan bertambah berganda dikebanyakan jabatan.

Jadi memang bz betul sekarang ni.  Kakitangan buruh yang dapat dipercayai memang susah nak dapat.  Jadi terpaksa sendiri ikut bantu juga dalam penghantaran dan bekalan.

Memang terasa sangat terlebih kerja. Badan pun dah rasa sengal-sengal sana dan sini. Maklum sajalah, bukan muda lagi!

Walaupun letih dan sakit-sakit badan, selera masih OK.  :)  Tengahari tadi singgah makan 'meatball carbonara' di Pizza Hut.  Mesti tukang masak baru ni.  Lihat sajalah -selekeh!

Jumaat, 3 Jun 2011

BERKEJAR MASA

Cepat betul masa berjalan.  Sekejap saja malam, sekejap sudah bertukar hari dan minggu.  Saban hari terkejar-kejar masa untuk menepati pesanan pelanggan.

Kakak sarankan supaya menambahkan pekerja yang ada skil dan kelayakan akademik lebih tinggi.  Memanglah lebih baik kalau semuanya dedikasi.

Soalnya mereka ini banyak pula kereknya.  Belum apa-apa sudah pandai demand.  Bila kakak sendiri ikut dalam sessi temuduga calon, kakak akhirnya akur bahawa memang sukar nak semuanya baik.

Rezeki nampaknya amat menggalakan.  Cuma sekarang ini tak mampu pula untuk memenuhi semua permintaan.  Jadi memang bersyukur dengan segala nikmat setakad ini.

Sebenarnya malam ni nak berkongsi kucing jalanan yang kita orang mula bela di luar rumah dan beri perhatian.  Bukan apa; setiap hari bila balik, dia setia menyambut.  Jadi hati ini sudah semakin sayang padanya.  Lihatlah gambarnya ini.

Jumaat, 20 Mei 2011

TERUJA MAKANAN KAMPUNG

Baik-baik demam ini macam kemaruk makan pula.  Petang tadi kakak rebus pisang, ubi keledek dan ubi kayu dan dihidangkan dengan kelapa perasa garam dan gula.

Keledek, Pisang , Ubi Kayu Rebus & Kelapa

Inilah hidangannya yang kakak sediakan tadi.  Mungkin ramai yang tak pernah makan.  Malah juga tak pernah tengok.

Saya sendiri pun sudah lama betul tak makan.  Semalam entah macam mana tersebut makanan ini.  Kakak takut saya terkilan agaknya.  Jadi itulah beliau sediakan hari ini.

Rabu, 11 Mei 2011

GULA NAIK MACAM2 PUN NAIK

Tadi selepas menghantar barang-barang bekalan, aku singgah untuk minum di gerai yang memang sudah biasa makan.  Bila sampai sana, teringin pula nak makan Mee Jawa.  Jadi orderlah bersama teh ais.

Mee Jawa & Teh Ais Gerai

Beginilah hidangan makanan dan minuman yang dipesan.  Kira-kira sedap juga la.

Sebenarnya apa yang nak diceritakan ialah tentang harganya.  Sewaktu bayar mereka kata hari ini harganya sudah naik sebanyak 30sen.

Mengikut kata mereka, hari ini baru mereka mendapat bekalan gula dan harganya sudah naik.  Kedua-dua makanan  dan minuman ini menggunakan gula.

Harga gula naik 20 sen.  Inilah bebanan berangkai yang ditanggung oleh rakyat!

Khamis, 5 Mei 2011

MAKAN SENDIRIAN

Tadi terpaksa berjamu makan di Pizza Hut.  Kakak sekeluarga telah pergi melancung ke Shanghai.  Pembantu rumah pula balik bercuti ke kampung halamannya.

Walaupun kakak sudah tinggalkan makanan yang sudah dipekkan untuk sekali makan, rasa nak makan di suasana tempat makan umum.  Jadi itu la keluar semula untuk makan.



Mulanya rasa nak makan macam-macam.  Tapi perut tak berapa lapar sangat.  Jadi sekadar memesan set personal size pizza dan garlic bread saja la.

Itu pun puas juga nak menghabiskan.  Makan seorang la katakan.

Isnin, 25 April 2011

BALIK KAMPUNG

Sebenarnya letih lagi ni.  Tapi alang-alang sudah terjaga kerana tertidur awal tadi, jengah blog juga la.

Kiranya dua hari, 1 malam, kita orang balik kampung reramai bersama kakak sekeluarga dan sepupu sekeluarga.  Riuh gamat juga dibuatnya.

Memang tak ada tujuan khusus.  Apabila kakak usulkan semua pergi jalan balik kampung saja minggu ini, semua setuju.  Jadi semua terus pek pakaian, masuk dalam kereta dan jalan.

Kiranya seronok jugalah.  Dapat ziarah kubur dan juga saudara mara terdekat yang masih ada.

Ahad, 17 April 2011

BN MENANG DI SARAWAK; YAKIN ADA PILIHANRAYA UMUM

Walaupun sambutan begitu amat meyakinkan, Pakatan Pembangkang tidak berjaya menumbangkan BN.  Ternyata elemen Sarawak sukar untuk dibaca oleh orang luar Sarawak.

Saya berpeluang duduk di Sarawak untuk setahun lebih juga.  Kebetulan masanya tu bertembung dengan satu pilihanraya umum peringkat negri seperti ini.

Apa yang saya amat rasakan ialah sentimen orang sana memang amat berbeza.  Selain amat berwaspada dengan orang 'Malaya' yang bermaksud orang Semenanjung, mereka juga jenis orang yang simplistik dan sentiasa menghargai kebaikan orang.

Bila masa pilihanraya seperti ini, macam-macam 'hadiah' yang BN beri.  Sampai ke pagi hari mengundi pun masih ada huluran-huluran buah tangan serta umpan pancingan undi.

Hanya ceramah umum berskala besar dan ramai yang terpaksa berhenti.  Ceramah secara perseorangan dan kumpulan-kumpulan kecil tetap dijalankan.  Kiranya durian terus runtuh hingga ke saat mereka akan ke pusat-pusat undi.

Dengan kemenangan majoriti 2/3 di Sarawak, sudah pasti pilihanraya umum seluruh negara akan diadakan di dalam waktu terdekat ini.  Saya yakin sekali.  Sudah ada banyak tanda-tanda dan isyaratnya.

Isnin, 11 April 2011

KEPUTUSAN CEMERLANG BELUM MENCUKUPI

Petang semalam sewaktu minum petang, kawan-kawan berdebat mengenai tentang sifat nasionalistik dan patriotik di kalangan remaja, khususnya remaja lepasan sekolah.  Tiba-tiba saja itu menjadi topik panas.

Sebenarnya ini adalah ekoran berita peratusan kelulusan SPM yang lebih baik tahun ini.  Lebih ramai bekas pelajar SPM mendapat banyak keputusan 'A' bagi mata-mata pelajaran penting seperti sains, matematik dan bahasa.

Ramai orang beranggapan bahawa keputusan cemerlang belum mencukupi.  Fokus kita mesti berpusat kepada samaada pelajar-pelajar berkenaan telah berjaya dibentuk menjadi warganegara yang baik dan patriotik.

Perdebatan adalah tentang kewajaran anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang itu menerima biasiswa dan bantuan kewangan.  Kebanyakan tidak setuju untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringakat pengajian tinggi dengan biasiswa dana negera hanya kerana keputusan mereka cemerlang.

Kalangan cerdik pandai berpendapat penekanan patut diberi kepada kualiti warganegara.  Malaysia akan kukuh berdaulat dan berwibawa jika warganegara mencintai negaranya.

Kalau sekadar menjadi pelajar cemerlang, banyak yang mudah gelap mata dan akan lebih menilai imbalan atau pulangan material.  Ramai kalangan ini tiada mempunyai semangat dan jiwa mempetahankan maruah diri dan negara.

Apa yang telah terjadi selama ini membuktikan bahawa keputusan akademik yang cemerlang memang belum mencukupi.  Seorang anak watan mesti dilengkapi dengan didikan supaya mereka berhati dan berjiwa Malaysia.

Jumaat, 1 April 2011

FAKTA ANGIN GAS DARI PERUT

Hari ini tadi saya ikut duduk bercerita dengan pakar-pakar medikal dan sains.  Sebenarnya salah seorang dari mereka adalah anak buah saya sendiri.

Selepas membuat penghantaran bekalan tadi terserempak pula dengannya.  Kemudian beliau ajak pergi makan tengahari bersama.

Bila duduk makan dan minum dengan orang-orang intelek, kita pun ikut berlagak seperti orang pandai jugalah.  Tapi, memang tak berani sangat nak mengutarakan pandangan.

Dalam bercerita tu keluarlah kisah kempen menutup lampu selama sejam tu.  Macam-macam hujjah dibahaskan.

Tetapi saya tertarik dengan kenyataan mereka tentang fakta angin gas dari perut.  Kekadang fakta pun boleh menggelikan hati.

Kata mereka angin gas dari perut mempunyai impak serious kepada udara dan alam sekitar.  Umpamanya sendawa dan kentut dari haiwan peliharaan seperti lembu mengandungan gas 'methane' yang beracun.

Mengikut fakta yang mereka berikan, gas ini mempunyai kesan negatif terhadap kehijauan alam sekitar.  Seekor lembu saja boleh mengeluarkan sehingga melebihi 100 gelen gas 'methane' sehari.  Mengikut statistik pencemaran berpunca dari binatang ternakan ini hampir mencecah 20 peratus.

Memang kedengarannya lucu.  Kita seperti tidak percaya dan sentiasa mengambil ringan tentang hal ini.  Rupa-rupanya mereka mengancam persekitaran kita.

Ahad, 27 Mac 2011

'SERUAN' TUTUP LAMPU SEJAM

Kempen tutup lampu dan bergelap untuk sejam telah bermula sejak minggu lalu.  Malam ni tadilah kita diseru melakukannya.

Saya masih dalam perjalanan pulang masa itu.  Rata-rata lampu semua lebuhraya dan jalanraya yang saya lalui terang bernyala.

Jeling-jeling juga ke kawasan perumahan sepanjang jalan.  Apa yang lebih jelas kelihatan ialah lampu rumah bernyala.

Tepat pukul 8.50 saya lalu berhampiran rumah PM kita dekat Jalan Duta.  Lampu bernyala terang juga!

Kiranya yang menurut tak ramai sangat la.  Sudah resmi begitu.  Macam kempen lain-lain juga!

Rabu, 16 Mac 2011

TERIMALAH PETUNJUK

Pastinya majoriti warga dunia terkesan dengan tsunami di Jepun.  Sekarang bukan saja kita bersimpati dengan mangsa, kita juga gerun mendengar tentang kesannya ke atas pusat nuklear di sana.

Tiap sesuatu yang berlaku pastinya bersebab.  Mungkin juga kita tahu sebab sebenarnya, mungkin juga kita boleh menjangka dan mungkin juga banyak yang tak terfikir oleh kita.

Pada Jumaat lepas, bencana alam dimana gempa bumi sekuat ukuran 9.0 pada skala Richter telah menggegarkan utara Jepun.  Tsunami besar yang berlaku itu telah pun mengorbankan beribu-ribu nyawa.

Semalam  satu lagi gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku berhampiran Pantai Timur Honshu, Jepun.  Mengikut berita BERNAMA,  Jabatan Meteorologi Malaysia memberi kenyataan bahawa gempa bumi itu berpusat di 3,911 kilometer dari Timur Laut, Kudat di Sabah.

Walaupun ribuan kilometer jaraknya, kemungkinan tetap ada ia boleh impakkan Malaysia.  Tambahan pula zon gempa bumi tidak begitu jauh dari kita.

Pucuk pimpinan mesti akur bahawa segala kemungkinan itu tetap ada.  Terimalah ini sebagai petunjuk untuk berpegang kepada Hukum Illahi dalam memegang amanah rakyat.

Sabtu, 12 Mac 2011

MAKAN CUCUR POPULAR

Selepas kerja tadi, tiba-tiba rasa lapar pula perut.  Waktu Jumaat tu sempat juga makan mee sup.  Tapi sebelum balik, perut berkeroncong terus.   Mungkin kerana hujan yang berlarutan.

Sebelum lewat petang memang susah juga nak cari tempat makan yang ada makanan-makanan yang menyelerakan.  Garu-garu kepala juga nak cari makanan.

Kemudian pemandu sarankan supaya berhenti makan jenis bubur atau kueh cucur panas.  Tiba-tiba dia berhenti di hadapan deretan rumah teres.
 

Ternyata di situ terdapat beberapa jenis cucur yang popular seperti goreng pisang, cucur udang dan cekodok yang dalam proses pembikinan yang berterusan.  Saya sempat ambil gambarnya seperti di atas.

Ada beberapa bangku duduk juga.  Jadi saya pun akur duduk makan sajalah.  Oleh sebab panas-panas lagi tu, kira memang sedap la!  Apatah lagi perut sedang lapar!

Sabtu, 5 Mac 2011

SUBANG JAYA DI 'PJ NEW TOWN'

Hari Khamis kelmarin saya membuat penghantaran bekalan di 'PJ New Town' iaitu seorang pelanggan baru.  Banyak juga pesanan mereka untuk tiga kali hantaran pada tahun ini.  Kiranya memang lumayan!

Oleh kerana jumlahnya banyak, lama juga budak-budak mengambil masa memenuhi kenderaan dan menghantar ke pejabat berkenaan untuk hantaran pertama ini.  Hampir tiga jam barulah selesai.

Alang-alang waktu tengahari, jadi kami terus saja menghala ke gerai makan di seksyen 8.  Tapi tak ada parkir pula.  Kemudian pemandu sarankan supaya pergi makan rojak Subang Jaya.

Mulanya ingatkan budak ini sengaja nak menaikkan darah.  Sudah la letih, cuaca pula panas, dan nak memandu begitu jauh untuk makan.

Rupanya ada restoran yang menjual rojak yang agak femes tu di 'PJ New Town' ini.  Dia terus memandu ke sana.  Nasib baik pula ada parkir.

Sepiring Rojak Sotong Telur

Sebiji Kelapa Muda

Ini adalah pesanan saya.  Memang makanan standard, tapi memuaskan citarasa.  Harga pun amat berpatutan.

Sabtu, 26 Februari 2011

TERINGAT MEE ABU

Biasanya hari Jumaat, umat Muslim keluar dari kerja awal diwaktu tengahari.  Memang cukup waktu untuk makan tengahari dan bagi menunaikan fardhu Jumaat.

Saya terawal pula semalam.  Oleh kerana ada banyak masa, saya singgah dulu di restoran Mamak di TTDI untuk makan mee rebus.  Kiranya boleh tahan juga rasanya.

Mee Rebus Mamak

Walaubagaimanapun mee rebus itu tidak cukup ummphnya. Waktu itu saya teringat pula Mee Abu di Jalan Teluk Wan Jah, Derga, Alor Setar.  Terbayang keenakannya yang lebih dengan adanya paru dan juga kuahnya yang lebih sedap.  Aduhhh!

Isnin, 21 Februari 2011

IBU JADI NYANYUK

Saya dan kakak rasa semakin sedih dengan perkembangan Mak, iaitu ibu angkat saya.  Sejak beberapa bulan kebelakangan ini Mak sepertinya sudah berada di dalam alam fantasi ciptaanya sendiri.  Nampak jelas beliau semakin bertambah nyanyuk.

Doktor mengesahkan bahawa perkembangan ini adalah kerana faktor usia.  Di samping itu perkembangan alam sekitar juga ada impaknya.

Memang umumnya kita semua tahu bahawa semakin lanjut usia seseorang, perkembangan tumbesaran akan menjadi terbalik.  Apabila melewati umur tua, insan akan balik ke alam kanak-kanak pula.

Mak sekarang sudah pun berusia lewat 80an.  Memang jelas beliau sudah sampai ke tahap ini.  Beliau mudah merajuk dan berlagak keanak-anakan.

Beberapa hari lepas kakak sudah tidak yakin Mak mempunyai rasional dewasa.  Kakak mengambil kunci pagar kecil untuk keluar rumah kerana takut Mak akan merayau keluar sendirian.

Ini adalah ekoran Mak sering keluar ke jalan luar dan berjalan tanpa tujuan tertentu.  Sudah beberapa kali juga Mak menghilang ketika dibawa keluar makan diluar dan mengambil angin di taman.  Jenuh juga kami semua mencari.

Bila ditanya Mak memberi beberapa versi alasan yang berubah-rubah ceritanya.  Umpamanya, ada masanya beliau katakan beliau mencari kawannya yang datang bersama dengannya; ada pula kerana beliau nak ke perhentian bas untuk balik rumah.

Selasa, 15 Februari 2011

MAULIDUR RASUL

Alhamdulillah, hari ini sekali lagi kita menyambut Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW.  Sebagai tanda kasih kepada baginda, eloklah kita melakukan sesuatu yang dapat membuktikan tanda kasih kita itu.

Setiap hari kita berikrar, 'Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.'   Allah SWT menyeru supaya kita wajip menjunjung kasih terhadap Rasul Allah SAW.  Kita tiada pilihan untuk ketaatan ini jika kita beriman.

Sebagai mengingati hari keputeraan Baginda hari ini, tentu amat baik jika kita melakukan ibadah yang akan sentiasa lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan Baginda Rasulullah SAW.  Di antara ibadah terbaik ialah dengan memperbanyakkan Zikrullah, Salawatul Nabi serta bersedekah dan amal jariah.

Khamis, 10 Februari 2011

PERUBAHAN SIKAP

Hari ini seorang Ketua Pengarah di sebuah jabatan kerajaan memberi saya cenderahati yang berupa sebuah kitab surah Yaasin dengan terjemahan dan juga Himpunan Doa Makbul.  Keduanya diikat dengan riben.  Tapi saya buka la untuk mengambil gambarnya.


Hairan juga di dalam hati di atas perubahan sikapnya.  Selama ini beliau merupakan seorang yang amat cerewet dengan segala bekalan yang dihantar.  Ada-ada saja komplennya.  Tetapi hari ini beliau berkelakuan berbeza.

Dalam hati terdetik juga, 'buang tebiat agaknya!'  Tapi mulut tu sekadar mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.  Saya tak mahu merosakkan keadaan pula.  Terima sajalah kebaikannya dengan hati yang terbuka.

Ahad, 6 Februari 2011

LINE TERUK SIANG HARI

Dua hari lebih line saya sangat teruk, terutamannya di waktu siang.  Awal malam pun asyik drag saja.  Tak tahu la kenapa.  Mungkin overload kerana kegunaan cuti Raya Cina ini ataupun kerana cuaca di mana hujan turun siap dengan guruh petir tu.

Jadi inilah saya cuba di awal pagi pula.  Nampaknya lebih baik, malah selesa juga.  Mudah saya berjalan di tengah malam/awal pagi ni.  Alang-alang terus buat N3 cerita sekali.  :)

Sebenarnya awal malam ni tadi nak buat N3 untuk cerita pasal pergi jalan dan makan kenduri bersama kakak sekeluarga.  Sekarang dah hilang mood nak cerita pasal tu lagi sebab macam dah basi pulak.

Khamis, 3 Februari 2011

RAKYAT MALAYSIA DI MESIR SELAMAT

Syukurlah semua warganegara Malaysia, termasuk penuntut kita di Mesir sana semuanya berada di dalam keadaan selamat.  Tetapi mengikut berita terkini, keadaan atau suasana di sana pula semakin meruncing.

Semalam CEO AirAsia memberi komitmen untuk mengeluarkan warga Malaysia di Mesir dengan khidmat penerbangan AirAsia sendiri.  Kita sebagai rakyat biasa merasa bangga dan kagum dengan tahap kewajipan sosial yang tinggi oleh tokoh koporat ini.

Hari ini selepas desakan memuncak, akhirnya kerajaan bersetuju mengambil tindakan.  Sumber berita Bernama mengatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk menghantar tiga buah kapal terbang tentera bagi usaha mengeluarkan rakyat kita dari Mesir.

Mengikut sumber ini juga, petugas pesawat tentera akan melakukan operasi terus menerus selama 24 jam untuk membawa keluar seramai anggaran 14,000 orang rakyat Malaysia kita.  Kedua-dua syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia juga turut menjalankan operasi untuk membawa keluar warganegara kita dari Mesir.

Khamis, 27 Januari 2011

HATI SENANG

Sejak seminggu lebih ini ramai yang menegur tentang perubahan pada diri saya.  Macam-macam komen ada.  Saya terima saja dengan senyuman ataupun beserta geleng-geleng kepala.

Rata-rata tu komennya agak menyenang dan melucukan.  Kebanyakan mereka menyentuh tentang berat badan yang semakin bertambah.

Kiranya semenjak duduk dengan kakak, hati dan jiwa saya memang tenang.  Suasana di rumah kakak memang ceria dan rukun serta damai.

Benarlah bagai dikata, suasana rumah-tangga dan keluarga yang saling menyayangi, menghormati dan memahami adalah amat baik untuk semua insan.  Semua yang ada adalah ciri-ciri yang sihat.

Saya amat bersyukur kerana dianugerahkan keluarga angkat yang sebegini baik dan prihatin.  Kasih sayang di antara kami adalah tulus ikhlas.

Khamis, 20 Januari 2011

AMALKAN MEMBACA AL IKHLAS

Masa berjalan begitu pantas.  Selalulnya rasa tak terkejar.  Tapi selagi ada nyawa di badan, begitulah mesti disempurnakan kehidupan.  Baru semalam rasanya malam Jumaat, rupanya malam ini sudah malam Jumaat yang baru.

Bersempena malam Jumaat kita sama-samalah saling mengingatkan.  Saya ingin ulang saranan supaya kita sentiasa juga membaca Surah Al Ikhlas.

Sumber:  Google

Di riwayatkan oleh Imam Bukhari r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang sesiapa yang membaca surah Al Ikhlas ini sebanyak 100,000 kali, 'sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari Allah ... ia adalah pemerdekaan dari neraka.'

Para ulama juga sering menyarankan kita membaca surah ini.  Jelas amalan membaca Surah ini akan memberi rahmat yang amat besar.

Sabtu, 8 Januari 2011

SANA SINI ORANG BERTANYA

Keluar saja rumah dan jumpa orang yang kita kenali di mana-mana, soalan yang dimajukan lebih kurang sama isinya.  Persoalan ialah berkisar dengan keadaan kecoh mengenai perlantikan Setiausaha Kerajaan Selangor.

Banyak orang rasa menyampah dengan saga ini.  Ada yang menyampah dengan sifat degil administrasi kerajaan pusat dan ada yang menyampah dengan pemimpin Selangor.  Tapi ramai tak berani sentuh bersabit dengan tindakan Sultan dan istana.

Semalam semasa membeli rojak berhampiran dengan Masjid ketika hampir waktu solat Jumaat, Mamak rojak pun bertanya juga.  Kemudian secara bisik-bisik dia bertanya, 'Sultan apa macam?'

Ramai orang memang tak berani jawap.  Saya pun jawap, 'Cakap pun tak ada guna!'  Mereka yang berhampiran ikut tambah, 'Cakap orang semua salah!'

Kemudian semua yang ada ketawa.  Makna ketawa mungkin berbeza untuk setiap orang yang ada di situ.  Apa yang jelas semua orang tak mahu mencari masaalah.

Rabu, 5 Januari 2011

TEMPIAS DENGGI

Mula tu ingatkan nak demam selsema sebab terkena hujan sehari sebelumnya.  Lepas itu, tetiba saja di belakang badan dipenuhi dengan ruam kemerahan.  Kepala juga rasa sakit teramat sangat.

Kakak dan Abang ipar cepat-cepat bawa saya pergi berjumpa doktor pakar.  Saya terus diklasifikasi sebagai pesakit yang berkemungkinan terkena jangkitan denggi kerana simpton berkenaan adalah bertepatan dengan serangan denggi.  Memang satu dugaan yang amat mencemaskan.  Panik semua orang dibuatnya.

Kebetulan pulak kawasan berhampiran rumah kakak ada amaran wabak denggi.  Jiran sebelah juga telah dimasukkan ke wad kerana disyaki terkena jangkitan denggi.

Setelah dirawat lebih dari 40 jam, akhirnya doktor mengesahkan saya bukan pesakit denggi.  Alhamdulillah, lega rasanya.  Kakak, Abang ipar dan anak saudara semuanya pun amat gembira dan bersyukur.  Malah kakak telah mengadakan majlis doa selamat selepas Maghrib tadi.

Sabtu, 1 Januari 2011

KELEBIHAN TUMBUHAN YANG MUDAH DIDAPATI

Malam tadi dah taip nak buat N3 tahun baru.  Sawan IT datang, habis lebur semuanya.  Malas la nak buat semula sebab idea ni pandai melencung merata-rata dan terus hilang.

Walaubagaimanapun saya nak buat ucapan tahun baru jugalah.  Sekurang-kurangnya sebagai tanda ingat!  :)

SELAMAT
TAHUN BARU 2011

Sebagai pembukaan tirai di tahun baru saya nak kongsikan sedikit petua tentang kelebihan tumbuhan yang mudah didapati.  Saya baru saja amalkan petua ini sejak seminggu yang lalu.

Daun sirih, daun lidah buaya, daun kemangi, serai dan daun beluntas semuanya dapat membantu membersihkan darah kita dan mencegah nafas berbau.  Hanya beluntas yang agak sukar sedikit didapati.  Kita boleh tinggalkannya.  Yang lain-lainnya memang sentiasa ada dijual di pasar-pasar dan pasar tani.

Caranya adalah dengan mencampurkan bahan-bahan ini dalam nisbah yang sama banyak.  Kemudian bolehlah dibuat jamu dalam bentuk minuman.  Minum sekali sehari sudah memadai.

Jika rajin, kita boleh membuat jamu kering.  Kisar atau giling halus semua bahan dalam kuantiti yang banyak.  Kemudian gentel sebesar yang selesa dan jemurkan dengan dilitupi kain nipis seperti tudung wanita hingga kering.