UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Jumaat, 25 Jun 2010

BANTAH JUDI

Ingat nak buat N3 lain tadi, tetapi saya tertarik pulak kepada berita ini.  Ia adalah mengenai perhimpunan 100 ribu orang kerana membantah judi kehendak rakyat.

Begitu  banyak telah bersuara secara sendiri-sendiri atau mewakili pertubuhan tertentu.  Tetapi ini nampaknya seperti satu rally besar-besaran.  Saya petik berita ini untuk tatapan kita bersama:
KUALA LUMPUR, 24 Jun: "Perhimpunan ini kehendak semua rakyat,” kata Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Mohd Azmi Abdul Hamid selepas memohon permit untuk himpunan 100 ribu rakyat bantah judi pada 3 Julai ini.

Beliau mengetuai GMJ ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memohon permit itu. Hadir sama ialah Setiausaha GMJ, Suhaizan Kayat dan AJK GMJ, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Himpunan besar-besaran 3 Julai ini menghimpunkan semua bangsa dan agama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan termasuk judi bola sempena Piala Dunia 2010.

Mereka dijangka berkumpul bermula jam 2 petang di beberapa tempat termasuk di Masjid Jamek, Masjid Negara dan pusat membeli belah Sogo sebelum bercantum dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut GMJ, peserta himpunan disaran memakai pakaian sukan atau jersi bolasepak piala dunia sebagai menyatakan bantahan terhadap kelulusan lesen judi tersebut.

Mereka juga dibawa oleh Ketua Cawangan Khas Dang Wangi, DSP Izan Bakri untuk diambil keterangan kira-kira 30 minit berhubung himpunan tersebut.

Pada sidang media selepas itu Cikgu Azmi berkata, GMJ mengharapkan respons positif pihak polis berhubung permohonan yang telah dibuat.

"Kami harap ada kerjasama positif membenarkan kita mengadakan himpunan aman menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Ditanya jika permohonan tersebut ditolak, beliau berkata wakil-wakil GMJ akan tetap berada di tempat-tempat yang ditetapkan pada hari tersebut.

"Perhimpunan ini kehendak semua rakyat. Wakil kami tetap akan berada di Masjid Negara, terpulang kepada orang ramai sama ada mahu menyertai atau tidak," katanya.
Saya rasa jika diadakan saya pun nak ikut serta sebab kita wajip menyokong perkara yang baik. Judi itu jelas haram dalam Islam. Jadi orang Islam jelas mesti menyertainya jika tidak berhalangan.

Ahad, 20 Jun 2010

TIADA HARI BAPA UNTUKKU

Sudah bertahun-tahun juga saya rasa kesunyian disaat kaum lelaki yang bergelar Ayah, Pak, Abah, Daddy dan pelbagai lagi merayakan Hari Bapa dengan gembira.  Memang sudah begitu suratan takdir.

Saya tidak pernah mengenali ayah kandung sendiri kerana saya dipelihara oleh keluarga angkat sejak berumur separuh hari.  Ayah saya menghilang diri sebelum saya dilahirkan lagi.  Ibu saya kahwin baru selepas melahirkan saya.

Ayah angkat memang memelihara saya sebagai anak sendiri kerana keluarga angkat saya tidak ada anak lelaki.  Tetapi kini, ayah angkat saya juga sudah meninggal lapan tahun yang lalu kerana sakit tua.

Saya tidak punya anak sendiri.  Isteri saya pun tidak mahu membela anak angkat.  Jadi kami hidup berdua suami isteri saja.  Sedih kan!

Selalunya saya ke rumah kakak angkat saya dihari minggu.  Kekadang ke rumah adik sepupu angkat.  Tetapi di hari bapa selalunya saya tidak akan pergi kerana rasa janggal pula.


Selasa, 15 Jun 2010

KOSMETIK MENARIK

Memang menarik pilihan template yang ditawarkan.  Saya dah mencuba beberapa kali juga untuk mencari keserasian.

Bukan apa segala kombinasi warna dan corak harus mengikut citarasa kita sendiri.  Barulah kita akan merasa lebih selesa nak duduk berehat.  Tak gitu?

Akhirnya saya ingat saya lebih selesa dengan corak dan sususan seperti wajah blog saya sekarang ini. :)

Ahad, 13 Jun 2010

MUSIBAH BERTIMPA

Saya rasa cerita bola ni ada hampir di mana-mana.  Jadi saya tak payah nak menambah sesakkan lagi.  Lagi pun saya tidak berapa nak berapa nak mesra alam sangat dengan bolasepak ni.

Di dalam begitu banyak cerita hari ini, saya rasa terkesan dengan berita musibah yang menimpa sebuah keluarga.  Seorang bapa berdepan dengan musibah anak perempuannya koma sejak sebulan lalu akibat ketumbuhan di kepala.  Kelmarin kereta keluarga mereka pula dicuri ketika diletakkan di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Sedihnya mendengar musibah bertimpa-timpa yang dialami oleh keluarga ini.  Anak perempuan yang sakit masih lagi koma, kereta untuk kegunaan seharian pula lesap.

Tentulah kejadian itu melibatkan kerugian kewangan.  Tetapi apa yang lebih menyedihkan ialah mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan yang tinggi untuk berulang-alik ke hospital.  Sedangkan bapa berkenaan hanyalah seorang pengawal keselamatan sahaja.  Berapa sajalah pendapatannya.  Sungguh amat menyedihkan.

Tentu ada hikmah di atas segala musibah yang menimpa.  Kita bantulah berdoa semoga mereka terus tabah.  Insya Allah, mereka akan dirahmati dengan keberkatan dan kemudahan.

Khamis, 10 Jun 2010

MEREKA INI PENGANUT AGAMA APA?

Sudah berdekad-dekad kita mendengar tentang cerita pembunuh berani mati.  Pembunuh nekat seperti ini didapati hadir di kalangan masyarakat tertentu.

Semalam diberitakan seorang pembunuh berani mati ini telah merempuh satu majlis kenduri di Kandahar, Afghanistan dan meletupkan dirinya.  Perbuatannya membunuh dan mencederakan ramai tetamu.

Peristiwa ini sungguh amat menyeramkan.  Nasib baiklah perkara seperti ini tidak hadir di dalam masyarakt kita.

Saya terfikir-fikir sendiri; pembunuh berani mati ni sebenarnya penganut agama apa?  Saya yakin ini bukanlah sesuatu yang diharuskan didalam Islam.

Pembunuh berani mati adalah mereka yang membunuh diri.  Membunuh diri adalah salah dalam Islam, dan tiada hukum dan nas yang mengharuskan perkara seperti ini sekalipun.

Mereka yang melakukannya dan mereka yang seangkatan dengan mereka mengatakan ini adalah jihad dan mati mereka adalah mati shahid.  Hukum mana dan nas mana yang mereka pakai?

Apa yang jelas dan nyata membunuh diri adalah sesuatu yang bukan jihad tapi sahih adalah amalan sesat!  Jelas mereka jahil dalam ilmu Islam.

Khamis, 3 Jun 2010

BEBASKAN GAZA

Alang-alang rasa panas dan tak dapat tidur elok juga saya kemas kini blog ni.  Sudah banyak hari juga tak buat N3.  Saya nak berkongsi pandangan tentang isu kekejaman regim zionis Israel.

Penderitaan perit getir rakyat Palestin selama enam dekad telah dapat dirasai oleh anggota misi damai bantuan ke Gaza yang telah diserang, ditawan dan dibebaskan.  Begitulah kata wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail dalam bual-bicaranya melalui Stesyen berkenaan hari ini, sebaik selepas sampai di Jordan setelah dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.

Antara Rupa Seruan Menuntut Kebebasan Gaza

Mungkin inilah hikmah disebalik semua  tragedi  yang menimpa anggota misi bantuan keamanan yang menaiki kapal Mavi Marmara, kapal yang mengepalai konvoi fortilla itu.  Dunia dapat melihat dengan jelas kekejaman regim zionis yang telah  menganianyai penduduk Palestin selama lebih dari setengah abad.

Selama ini kekejaman mereka sering diputar-belitkan untuk menjustifikasikan serangan dan penganianyaan terhadap Palestin.  Kuasa-kuasa besar pula sentiasa memihak kepada regim Israel.

Tetapi gambar satelit serangan ke atas kapal misi bantuan keamanan ini menceritakan segalanya.  Seperti kata bijak-pandai, gambar boleh menceritakan segala peristiwa tanpa perlu berkata-kata.

Semoga selepas ini seruan supaya membebaskan Gaza akan disokong secara lantang dan meluas. Amin, amin.