UCAPAN SELAMAT

Hi dan salam sejahtera kepada semua kawan-kawan dan rakan yang sudi berkunjung ke sini.

Jumaat, 24 Disember 2010

BELIMBING BULUH SEBAGAI PENAWAR

Rupanya belimbing buluh yang tak seberapa harganya itu adalah penawar kepada beberapa masaalah kesihatan.  Malam ini barulah saya tahu.
Gambar Belimbing Buluh

Sewaktu makan malam sekejap tadi kakak paksa saya makan buah belimbing buluh muda yang dihidang sebagai ulam. Terperanjat juga dibuatnya sebab selama ini selalunya belimbing ini dimasak bersama kari ikan atau dibuat masak lemak.  Oleh kerana didesak kakak dan malas membantah cakapnya saya makan juga la lima biji yang sedang besar.

Selesai makan baru kakak beritahu bahawa belimbing buluh ini adalah baik untuk mengatasi  masaalah kesihatan saya.  Sejak beberapa bulan lepas, tekanan darah saya sudah berat ke tahap yang berisiko tinggi.  Saya juga sering sakit kepala.  Kebetulan juga sejak petang tadi kepala terasa amat sakit.

Kata kakak belimbing buluh ini baik untuk mengubati penyakit darah tinggi, sakit kepala, kencing manis dan juga batuk.  Sekurang-kurangnya malam ini saya yakin ia menghilangkan rasa sakit kepala.

Mengikut kata kakak saya, jika tak suka dimakan begitu saja, kita boleh buat jus.  Tetapi sebaik-baiknya biarlah sebagai puree.

Selasa, 14 Disember 2010

KUEH TURKEY

Badan rasa sudah amat letih dan mata pun sudah ngantuk benar.  Tapi kuat pula keinginan nak buat N3 juga malam ni.  :)

Sebenarnya saja nak cerita pasal cerita lawak jakun saya.  Hari inilah baru pertama kali saya makan 'Turkish delights' atau apa yang dikatakan adalah kueh tradisi Turkey.  Saudara abang ipar bawa balik dari London dan memberikannya sebagai ole-ole.  Lihatlah hidangannya di gambar bawah ini.


Bila disuruh makan saya terus ambil seketul masuk ke dalam mulut.  Sekali pepak (gigit) saja, rasa manisnya yang tidak terhingga.  Nak diluahkan ramai ahli keluarga lain tengah makan.  Nanti meloyakan mereka pula.

Aduh, kunyah dua kali terus telan sajalah.  Kemudian terus minta diri nak ke bilik air.  Habis muntah balik semuanya!

Memang kueh ini nampak menarik juga kerana berwarna-warni.  Sekali pandang seperti halua maskat kita; seperti 'coconut candy' pun ada juga.  Tekturnya liat ala-ala dodol.  Mengikut kata kakak, semuanya berperisa buah-buahan.

Bagi saya kueh ini tak adalah sedap pun.  Cuma ada kelainan.  Saya tertarik kerana pertama kali lihat dan jelas bukan makanan kita.  Tetapi apabila makan satu, rasa sudah tak hendak lagi.

Isnin, 6 Disember 2010

KHASIAT MENGKUDU

Sementelah terjaga dari tidur, elok juga buat N3 baru.  Hari ini saya nak berkongsi pasal khasiat mengkudu pula.

Kakak selalu juga buat jus mengkudu.  Sekarang apabila duduk dengan kakak saya sering juga minum jus mengkudu la.  Rasanya memang tidak berapa enak.  Tetapi minum jugalah kerana terbukti mujarab.

Sebelum bercerita pasal khasiat mengkudu, lihatlah dulu rupa mengkudu seperti di dalam gambar di bawah.  Ini gambar pokok kakak saya.
Pokok Mengkudu Kakak

Saya mula minum air mengkudu secara berkala sejak setahun lalu setelah tekanan darah saya dikesan melewati batas selamat.  Selalunya saya minum seminggu sekali di rumah kakak saya.  Alhamdulillah, tekanan darah saya sudah turun dan sekarang kembali normal.

Mengikut petua orang tua, buah mengkudu baik untuk kesihatan badan.  Antara kebaikannya ialah mengkudu bantu mencernakan darah dan meredakan tekanan darah tinggi.  Selain dari itu, mengkudu bantu mengubati penyakit kencing manis dan masaalah buah pinggang.  Ada lagi kebaikan lainnya seperti membantu meredakan senggugut dan arthritis.

Kata kakak, daunnya adalah baik sebagai awet muda.  Sementara itu bunganya juga baik untuk mata.

Setakad ini belum dengar lagi mengenai kesan sampingan.  Cuma mengikut petua, kita tak boleh juga mengamal makan secara berlebihan kerana nanti darah boleh naik ke otak.  Maksudnya pencernaan darah melampau boleh membahayakan.

Buah, daun dan bunga mengkudu biasanya direbus dahulu.  Air didihan pertama mesti dibuang.  Kemudian baru direbus semula hingga lembut.  Buah dan airnya boleh dikisar menjadi jus.  Sementara daun dan bunganya boleh dimakan sebagai ulam.

Ada juga orang menggunakan daun untuk buat nasi ulam atau masak otak-otak dan botok-botok.  Kakak ada sebut, jika makan begini mestilah berpada kerana bahan toksidnya yang tidak dibuang mungkin akan membuat perut sakit menyucuk dan rasa tersumbat.

Selasa, 30 November 2010

SETAWAR JUGA PENAWAR

Tadi kakak bercerita bahawa seorang saudara kami sedang mengalami penyakit buasir kronik.  Saudara ini sudah pun berada di tahap 4 iaitu dimana darah pekat keluar dari duburnya.

Dengan kata lain saudara kami ini sudah ditahap merbahaya.  Beliau susah untuk meneran kerana buasir berada di luar kawasan dubur.  Nau'u zubillahu min zaliq.  Seram pula mendengarnya.

Saya ingat Mak dan nenek dulu sentiasa ingatkan supaya menjaga sistem penghadzaman dan pembuangan najis.  Antara makanan yang sentiasa disuruh makan ialah betik dan pisang.

Juga mereka nasihatkan supaya tidak meneran jika susah membuang air besar, serta jangan amalkan duduk mencangkung lama-lama.  Jika sudah mengalami masaalah susah membuang najis, terutamanya air besar, mereka nasihatkan supaya cepat-cepat ubati dengan memakan setawar.

Pokok Setawar Kakak

Setawar ini merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai banyak air.   Daun setawar ini dipercayai mengandungi banyak kandungan bahan-bahan berkhasiat.  Elemen atau bahan dalam daun setawar mudah larut dalam air dan juga membentuk larutan seakan sabun.  Selain itu ia mengadungi khasiat yang boleh melembutkan najis.  Oleh sebab itulah setawar ini digunakan untuk merawat penyakit buasir.

Setahu saya ada pelbagai jenis setawar.  Antara yang popular dimanafaatkan khasiatnya adalah setawar seperti gambar di atas yang kakak saya ikut tanam dan juga setawar putih.

Selasa, 23 November 2010

MAKAN BETIK

Hari ini saya berjumpa kawan lama yang kebetulan seorang doktor.  Oleh kerana sudah lama tidak bertemu, kami langsung bersetuju untuk makan tengahari bersama.  Beliau yang belanja saya makan di sebuah restoran terkemuka.

Sambil makan tu beliau sambil bercerita tentang zat-zat makanan.  Maklum sajalah beliau seorang doktor.  Saya ingin kongsikan apa yang beliau beritahu tentang buah betik.

Kebetulan, pemanis mulut kami ialah buah-buahan yang termasuk buah betik.  Teruja dengan penerangannya, saya singgah di pasar Chow Kit dan membeli enam biji betik untuk dibawa balik.

Buah Betik Yang Saya Beli

Kita memang tahu buah betik atau papaya ini mengandungi vitamin C.  Tahapnya saja mungkin ramai tidak tahu.  Katanya buah betik mengandungi dua kali ganda vitamin C jika dibandingkan dengan buah orange. Mengikut kawan saya ini, bagi sekitar 300 gram buah betik, ia mengandungi 200 miligram vitamin C.  Kandungan vitamin C yang tinggi memang diperlukan oleh badan kita untuk kesihatan yang baik

Selain mengandungi vitamin C, betik juga mengandungi kalium dan magnesium yang amat tinggi.  Ianya juga mengandungi zat lain seperti karotena dan flavonoid.  Semua ini berperanan untuk memecah serat makanan sisa.  Jadi kita mudah membuang air besar.

Betik juga baik untuk mengubati usus yang luka serta bantu mengurangkan suhu panas badan.  Ianya baik untuk menjaga hempedu kita.

Khamis, 18 November 2010

SELAMAT BERKORBAN

Bersempena hari raya yang mulia ini, semoga ramai yang melakukan ibadah korban.  Jika tidak pun melakukan korban dengan menumbangkan lembu atau kambing, semoga saja melakukan pengorbanan baik lain yang diredhakan Allah SWT.

SELAMAT HARI RAYA
EIDUL ADHA.
MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Korban wajip menyembelih lembu dan kambing boleh dilakukan dalam tiga hari raya korban ini.  Korban lain boleh dilakukan sepanjang tahun.

Sabtu, 13 November 2010

IBADAH KORBAN

Mula kakak sekeluarga dan saya berhasrat nak balik kampung untuk menyempurnakan korban.  Tetapi dengan musibah banjir di utara sana, tentu sukar bagi pihak yang menguruskan hal ini untuk meneruskan acara ibadah korban ini.

Akhirnya kita orang mengambil keputusan untuk ikut 'join' pengurusan masjid kawasan perumahan kakak saja.  Suasananya tentulah berbeza kerana di sini tak ada acara kenduri kendara.

Malah mengikut kakak, upacara sembelih akan diadakan di tempat lain kerana kawasan lapang di luar masjid adalah amat terhad.  Hanya daging bahagian mereka yang membuat korban saja yang akan diedarkan di masjid.

Benarlah kata orang, lain padang lain belalang.  Jadi terima sajalah dengan redha.

Jumaat, 5 November 2010

TUKAR RANCANGAN

Mengikut rancangan awal tu besok saya akan balik bercuti ke kampung bersama kakak sekeluarga.  Tetapi di utara sana sekarang sedang gawat dengan bencana banjir.

Dengarnya banyak jalan dan kawasan yang dinaiki air hingga ke tahap merbahaya.  Malah katanya ada tempat-tempat di tepi sungai dan peparit yang airnya naik sampai hampir ke bumbung rumah.

Saya ingat lagi tragedi banjir buruk pada tahun 2005 dulu.  Ketika itu arwah isteri saya masih hidup lagi.  Malah bermula dengan musibah itulah arwah dijangkiti penyakit yang dikatakan sebagai barah kulit.  Penyakit ini menambahkan stres, dan penyakit jantungnya pula semakin teruk.  Semuanya itu dihidapi sampai membawa kepada ajalnya.

Mengikut kabar dari abang arwah isteri yang duduk berjiranan dengan rumah kami itu, rumahnya sendiri ditenggelami air hingga mencecah ke alang atap rumah.  Mereka kini semuanya sudah dipindahkan dan di tempatkan di sekolah yang dijadikan markas mangsa-mangsa banjir berlindung sementara.

Oleh kerana keadaan itu, kita orang terpaksa menukar rancangan.  Mulanya kata abang ipar kita pergi bercuti ke sebelah pantai timur.  Tetapi setelah mendapat pandangan ramai, tak jadi juga sebab takut terperangkap banjir di sana pulak nanti.

Akhirnya kami bercadang nak menjejak saudara di Melaka saja.  Sekurang-kurangnya tidak ada ancaman berat cuaca.  Kalau sekadar hujan lebat dan banjir kilat di jalan-jalan tertentu, risikonya tidak tinggi.

Sabtu, 30 Oktober 2010

BERKAMPUNG DI RUMAH KAKAK

Seminggu ini saya berkampung di rumah kakak.  Sebenarnya kakak sekeluarga menasihatkan saya untuk tinggal bersama mereka saja sebab mereka risau saya di rumah seorang diri.  Kata kakak, cuba dululah minggu ini.

Sebenarnya saya memang pernah tinggal bersama kakak sekeluarga pada zaman remaja dan bujang dulu.  Jadi tidak ada masaalah pasal keselesaan.  Abang ipar dan anak saudara memang sentiasa baik hati seperti kakak juga.

Cuma jarak masa tu sudah lama sangat.  Saya takut saja terbawa perasaan melihat suasana harmonis bahagia di rumah kakak.  Semua orang merindukan suasana begitu.  Jika tidak kedapatan kita terasa hampa kecewa.  Itu yang buat rasa nak jerit sekuat hati untuk membaling jauh-jauh rasa negatif itu.

Selama seminggu ini, nampaknya saya rasa semakin tenang.  Besar kemungkinan saya akan patuh dengan nasihat kakak untuk tinggal bersama mereka saja.

Jumaat, 22 Oktober 2010

PERIT BERCERAI HIDUP

Rupanya bercerai hidup amat berlainan tekanannya.  Bila bercerai mati, tak ada dengar cerita yang tidak enak mengenai pasangan dan diri kita.  Tetapi bila bercerai hidup ni, bermacam-macam cerita pula terdengar.

Walaubagaimanapun saya sudah pasrah.  Biarlah sebelah pihak bekas isteri membuat berbagai cerita dan andaian.  Seperti nasihat kakak saya, "Allah SWT Maha Tahu & Maha Esa; Tuhan satu saja."

Saya seboleh-bolehnya tidak mahu mengikut rentak bekas isteri.  Cuma bila ada orang bertanya bersabit dengan cerita dan andaian itu, saya jadi serba salah antara nak memberi komen ataupun tidak.  Bila kita senyum dan jawap, "no comment," mereka tak puas hati.

Namun memang betul seperti kata kakak bahawa kita tak boleh ikut rentak orang.  Sampai bila pun kita tidak akan dapat meyakinkan orang, apatah lagi memuaskan hati semua orang.

Dalam pada itu, ramai juga menyarankan supaya saya segera berkahwin semula.  Entahlah, berat juga rasanya buat masa sekarang ni.

Saya masih terlalu amat kecewa kerana saya sudah sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan saya itu.  Satu-satunya kelemahan saya ialah saya suka mengalah.  Tetapi apabila keadaan menjadi tidak terkawal, saya terpaksalah bersuara.  Sejak itulah bermulanya kehancuran dalam rumahtangga kami.

Apabila bercerai atas tuntutan isteri, rupanya keperitan terus hadir juga dalam kehidupan saya.  Namun saya sedang berusaha bersungguh-sunggh untuk mengatasi perasaan kecewa ini.

Rabu, 20 Oktober 2010

WARISAN MERDEKA

Walaupun saya bukan punya kelayakan akademik dan pengalaman yang relevan, saya masih boleh bersuara menyatakan kata hati ini.  Biarpun PM kata ini projek PNB, saya terpanggil nak memberi pendapat juga.

Pendeknya apa logika untuk membina sebuah bangunan tertinggi lagi hanya untuk berbangga dengan menamakannya Warisan Merdeka.  Peruntukan sebanyak RM 5 billion bukan sedikit.  Boleh kering kantung tabungan dibuatnya.

PM kata projek ini akan mempunya 'multiplier effect' dan amat baik untuk ekonomi negara.  Aduh! janganlah terus-terusan cakap politik.

Begitu banyak lagi usaha lain yang akan menganjakkan ekonomi dengan kesan berlipat ganda.  Tanya kepada pakar-pakar ekonomi yang betul-betul jelas kepakaran mereka.  Jangan letak orang yang hanya akan jadi pak turut sebagai pakar.  Angkat mereka yang jelas mengambil keputusan atas petunjuk sebenar! 

Ahad, 10 Oktober 2010

10.10.10

Cantik kombinasi nombor ini.  Saya teringat pula untuk merakamkannya di dalam paparan di blog.

Mengikut berita, ramai orang mahu merakamkan sejarah di dalam hidup mereka pada hari ini.  Jadi memang banyak majlis perkahwinan dan pendaftaran pernikahan pada hari ini.

Orang Cina memang percaya hari ini baik dan membawa tuah.  Katanya ini kerana nombor in melambangkan kesempurnaan.

Tetapi perkahwinan bukan saja akan berlangsung untuk orang-orang Cina.  Ramai orang Melayu pun ikut mengadakan majlis kenduri mereka pada hari ini.

Saya sendiri mendapat lima undangan ke majlis kenduri kahwin hari ini.  Tiga adalah untuk upacara siang, dan dua lagi adalah untuk resepsi di Dewan dan di Hotel sebelah malamnya.

Memanglah kita tidak dapat memenuhi semua undangan.  Bukan saja masanya bertembung, tetapi di antara satu tempat dengan yang lain-lainnya juga adalah jauh.

Khamis, 30 September 2010

SAYA PASRAH

Nampaknya sekali lagi panas tidak sampai ke petang.  Saya memang redha dan pasrah.  Tentu ada hikmah disebalik semua ini.

Setelah cuba bertahan untuk sekian lama juga, saya bercerai hidup kali ini.  Bekas isteri saya yang minta diceraikan atas alasan dia tidak mahu duduk di sini lagi kerana dia nak menjaga ibunya di kampung.  Dia berkeras mahu saya ikut balik dan bekerja di sana saja.  Jika saya tidak mahu ikut balik, dia mahu ganjaran bulanan sekurang-kurangnya RM 5,000.  Syarat-syarat ini berat bagi saya.

Bagaimana itu dapat saya penuhi sedangkan saya mempunyai kontrak untuk membekalkan barang-barang yang dijanjikan.  Sekurang-kurangnya pun masih berbaki satu tahun lebih lagi.  Bayaran untuk bekalan pula tidak diterima setiap bulan.  Saya perlu membayar gaji pekerja, pastikan cukup pusingan modal serta ada baki RM10,000 setiap bulan kerana kekadang ada order sampingan yang agak tinggi yang perlu dibeli dahulu sebelum mendapat bayarannya.

Kakak menasihatkan saya supaya melakukan solat istiqarah.  Selepas berbuat demikian beberapa kali, saya membuat keputusan memenuhi permintaannya untuk bercerai.

Dulu saya bercerai kerana isteri saya meninggal setelah diserang sakit jantung.  Kini saya bercerai hidup di bulan mulia kerana permintaan bekas isteri.

Untuk sementara ini saya tinggal bersama kakak.  Kakak sekeluarga tegaskan bahawa lebih baik saya bersama mereka supaya saya tidak hilang semangat.  Saya bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang sentiasa begitu menyokong tanpa syarat.

Sabtu, 25 September 2010

TURUT SAJA BERAYA

Kalau ikutkan hati memang rasa nak tutup saja pintu bilik, dan kuncikan diri di dalam.  Malas nak beraya lagi.  Bukan apa, nanti saya terikut perasaan dan terbawa sedih lagi.

Tapi kakak saya menasihatkan supaya saya datang beramai di rumahnya juga.  Katanya bila di rumahnya, saya takkan tertekan sangat.  Memang betul begitu, hanya kakak saja penawar.  Selama saya berada di rumahnya dan  dekat dengannya, saya rasa kuat dan aman saja.

Kakak memang menyuruh saya pergi duduk dengan beliau dan keluarganya buat sementara ini.  Saya pun memang kerap di sana sekarang.  Cuma saya segan dengan abang ipar sebab asyik menyusahkan mereka saja.

Untuk hari ini saya akan pergi untuk turut saja beraya bersama sanak saudara yang akan datang beraya tu.  Mereka semua pun sudah tahu masaalah saya.

Rabu, 22 September 2010

ANTARA MENARI DENGAN BERKEBUN

Bila umur semakin meningkat menuju separuh abad, badan mula rasa bisa-bisa sana sini.  Bila berjalan banyak kaki rasa sakit; bila banyak mengangkat barang tangan rasa sakit.

Semalam semasa duduk makan tengahari, saya sempat bersembang dengan beberapa orang pekerja/pegawai pejabat yang kerja mereka adalah menguruskan hal pentadbiran di pejabat.  Kata mereka, duduk lama-lama dalam pejabat pun membuat rasa lengoh-lengoh badan juga.

Semasa ke gym tempuhari, seorang instruktor berkata bahawa badan kita perlukan rutin pergerakan badan sekitar setengah jam sehari untuk kekal sihat dan juga untuk mengelakkan dari sakit-sakit badan serta mengawal berat badan.

Agaknya betul seperti kata orang-orang tua.  'Badan jangan dibiar berkarat, nanti datang penyakit berat!'

Saya ingat lagi kata arwah Ayah dulu.  'Kalau orang bandar, orang sosial mereka jaga badan dengan menari.  Kalau orang kampung, mereka jaga badan dan jaga perut dengan berkebun.'

Untuk era sekarang, mungkin kita boleh melakukan kedua-duanya sekali.  Pagi-pagi eloklah gerakkan badan dengan menari dan bersenam sendiri di rumah atau di taman rekreasi.  Bila hari minggu bolehlah pula menjaga laman rumah dan berkebun.


Jumaat, 10 September 2010

BERWAJAH CERIA BERSERI-SERI
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MINAL AIDIL WAL FAIZIN
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Khamis, 2 September 2010

RAMADHAN YANG LEBIH MENDUGA

Nampaknya bulan Ramadhan Al Mubarak tahun ini adalah lebih menduga buat saya.  Biasanya gastrik saya tidak begitu teruk sangat.  Tapi sepanjang puasa ini, ia adalah lebih pedih dan sakit.

Saya bertahan juga.  Alhamdulillah, saya gagahi juga berpuasa kerana yakin Allah SWT tidak akan menduga di luar kemampuan diri saya.

Cuma saya amat kurang selesa dengan rutin kerja dan kehidupan.  Sampaikan isteri saya pun selalu berang.  Namun saya patuh dengan nasihat kakak supaya sentiasa banyak berastaghfar dan zikrullah serta yakinkan diri bahawa saya boleh melakukannya.

Oleh sebab itulah saya lama tidak membuat update.  Takut nanti asyik merintih cerita sakit saja.

Selamat menghabiskan ibadah puasa ini dengan baik.

Khamis, 12 Ogos 2010

RAMADHAN AL MUBARAK BULAN UMMAH


Alhamdulillah kita dirahmati untuk sama-sama berada di bulan Ramdhan Al Mubarak tahun ini.  Bulan ini adalah untuk kita menyucikan roh dan hati nurani serta menggandakan kebajikan.  Allah SWT menjanjikan limpahan pahala bagi segala amalan.

Semoga kita semua dianugerahkan dengan kekuatan fizikal dan mental untuk dapat memanafaatkan peluang keemasan ini dengan amat baik sekali.  Insya Allah segala amalan kita diberkati sepenuhnya.

Isnin, 9 Ogos 2010

HARI MINGGU YANG TAK SERONOK

Semalam dan hari ini saya letih dengan kerenah orang rumah pulak.  Agaknya memang benar kata kebanyakan orang, 'orang perempuan memang suka berbelanja sakan untuk Raya!'

Kata kakak kalau saya rasa malas nak ikut berbelanja biarkan saja isteri saya lakukan sendiri.  Tetapi semalam isteri saya pulak paksa saya ikut juga.  Oleh kerana malas nak bertekak, saya turutkan juga.

Rupanya hampir semua jalan-jalan utama di KL sesak.  Ikut jalan mana pun semua jam.  Isteri saya pula mahu ke Jalan Tuanku Abdul Rahman juga.

Hari ini pula dia mahu pergi ke Chow Kit untuk mencari sayur-sayur kampung.  Saya bersabar juga ikut.  Apa nak dibuatkan.

Sesekali rasa iri juga dengan kakak yang sepertinya bijak menjalani kehidupannya.  Seperti kebanyakan lelaki, abang ipar saya memang juga malas berbelanja.  Sekarang jarang-jarang sekali beliau ikut pergi kerana keadaan kakinya yang sering sakit.  Jadi selalunya kakak pergi dengan anaknya.  Anaknya seorang lelaki juga, serta normal seperti orang lain yang tak berminat untuk 'shopping' juga.  Tetapi beliau temankan juga ibunya.

Satu perkara yang saya perhatikan, kakak saya dari dulu hingga sekarang memang tidak 'mereben' orangnnya.  Kalau ke kedai atau ke kompleks mana-mana pun, beliau tepat pada waktu.  Kalau katanya sejam, dalam masa sejam beliau sudah selesai.  Berbeza dengan ibu dan isteri saya.  Kata 2 jam, diikut atau ditunggu sampai 4 jam pun belum juga selesai.

Itu yang membuat hari minggu ini tidak seronok.  Seharian hari Sabtu dan sepetang hari ini, saya menemani isteri pergi berbelanja.  Letihnya bukan main.  Rasa geram pun ada sebab asyik pusing sana sini sedangkan belinya tak seberapa.

Selepas balik tadi, isteri saya malah kata minggu depan nak pergi beli entah apa-apa lagi.  Betul la kata kakak saya untuk biarkan dia lakukan sendiri saja.  Minggu depan, minta ampun, saya akan takkan ikut isteri pergi berbelanja lagi.

Selasa, 3 Ogos 2010

MINGGU SIBUK

Minggu lepas adalah minggu yang amat sibuk untuk saya dan kakitangan.  Masaalahnya ialah syarikat kami telah teraniaya akibat fitnah dari pegawai penerima bekalan. 

Susah nak cakap.  Kalau cakap lebih-lebih karang akan lebih menyulitkan keadaan.  Tetapi kalau di diamkan saja nanti semakin lemak pula pegawai berkenaan.

Atas nasihat kakak saya, saya membuat format surat aku terima barang baru.  Saya memang tak pernah terlintas untuk berbuat begitu.  Syukurlah saya mempunyai seorang kakak yang amat prihatin dan bijak menangani masaalah.  Walaupun beliau hanya seorang kakak angkat, saya memang tidak pernah rasa seperti adik angkat.

Cerita bermula bila pegawai berkenaan minta wang saguhati.  Mungkin juga untuk belanja Hari Raya.  Saya tak pastilah sebabnya.  Tetapi saya nekad menjalankan kerja tanpa perlu memberi sogokan dan gosok belakang orang tertentu.  Biarlah saya hanya mendapat kontrak kecil dan tidak dapat berkembang pesat dalam masa yang singkat.

Saya ingat pesan kakak, jika berbuat secara salah, rezeki itu tidak bersih dan tidak akan berkat.  Jika pun kita berterima kasih di atas pertolongan seseorang, kakak nasihatkan saya menunjukkan terima kasih dan syukur dengan cara yang betul.

Akibat dari pembohongan pegawai yang berkenaan, saya  terpaksa tergesa-gesa mendapatkan barang baru dengan kadar yang segera  dan membekal semula bagi jumlah barang yang dikatakan defektif.  Dengan pengesahan aku terima yang jelas dengan nama dan tandatangan pegawai yang menerima, saya yakin masaalah ini tak akan berulang.

Macam-macam cara penyelewangan dan salah laku diamalkan oleh beberapa pegawai.  Tetapi, secara keseluruhan saya dapati lebih banyak yang menjalankan tugas secara bertanggung-jawap.

Ahad, 25 Julai 2010

LAYAN KEINGINAN NAFSU

Memang sudah lama orang tahu bahawa ramai penuntut institusi pengajian tinggi sentiasa terjebak dalam kancah sosial mencari keseronokan serta duit poket tambahan di pusat-pusat hiburan.  Dari dulu hingga sekarang sebabnya saja.  Cuma sekarang caranya semakin canggih.

Saya pernah terserempak beberapa penuntut universiti keluar dari 'pub dan bar' yang umum tahu adalah tempat orang bersuka-suka dengan minuman keras.  Memang saya tak melihat sendiri apa yang mereka buat di dalam tempat seperti.  Tetapi semasa keluar dari sana itu, jelas mereka telah minum minuman keras atau makan apa-apa yang memabukkan kerana mereka riuh dan jalan terhuyung-hayang juga.  Bezanya cuma ada di kalangan mereka yang kurang mabuk dari kawan-kawan mereka yang lain saja.

Sekarang saya lihat ramai juga penuntut IPTA dan IPTS serta mahasiswa/mahasiswi yang pergi lepak di dalam pusat-pusat hiburan yang eksklusif.  Ada sekali tu saya diajak kawan yang bekerja sebagai wartawan dengan sebuah akhbar untuk membuat liputan mengenai hal ini.

Rupanya di dalam sana memang ada berbagai aksi dahsyat dan lucah berlaku.  Ada tarian bogel, dan ada perempuan berpakaian amat terdedah seksi mengelilingi pentas dan dikerumuni oleh saudara-saudara syaitan.  Naik seram juga rasanya sebab digoda oleh perempuan-perempuan yang sengaja melagakan buah dada mereka di bahu dan kepala pengunjung-pengunjung.

Bagi pengunjung, ia bukan satu hobi yang murah kerana ada caj bayaran masuk dan meja sekurang-kurangnya.  Yang bersifat 'pemurah' menghulur wang kepada 'penghibur' yang sedia melayan keinginan nafsu mengikut bayaran.  Kira-kira mereka saling melayan keinginan nafsu masing-masing.

Begitu murah maruah mereka ini.  Tetapi saya yakin gejala sosial sebenarnya bermula dari sistem pendidikan kita yang tempang dan cacat serta tidak cukup dengan nilai moral yang baik dan positif.

Rabu, 21 Julai 2010

BENJY MUNGKIN MULA MENGERTI

Tentulah ramai sudah mengetahui bahawa pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Benjy telah menarik kembali rayuan habeas corpus yang dibuatnya.  Kes rayuan ini dijadualkan untuk dijalankan di Mahkamah Persekutuan di sini, pada hari Rabu ini

Sidang kes berkenaan dijadualkan didengar oleh panel tiga hakim.  Tapi peguamnya memberitahu bahawa pihak Benjy sudah menarik kembali rayuan berkenaan.  Tiada sebab dikemukakan.

Saya yakin Benjy, ibunya Azean Irdawaty dan keluarga mereka sudah faham tentang peruntukan undang-undang dan mekanisma pelaksanaan undang-undang.  Seperti kata orang tak guna menongkah arus, dan kalau jelasnya batu, masakan boleh dibahaskan sebagai hanya selut kering.

Semoga menjadi ikhtibar bagi sekelian rakyat Malaysia.  Lebih penting lagi, setiap warga Malaysia mesti faham, disegi undang-undang, semua orang mesti mendapat hak dan mempunyai tanggung-jawap yang sama.  Demikian asas 'Common Law' iaitu semua mesti adil dan saksama.

Jumaat, 16 Julai 2010

JINAKKAN DIRI DENGAN ALLAH SWT

Ustaz minta panjangkan pesan supaya saling mengingatkan sesama umat manusia bahawa sekarang kita berada di bulan Syaaban.  Kita diingatkan untuk turut mendampingi dan menjinak-jinakkan diri dengan Allah SWT dengan melakukan ibadah-ibadah yang tertentu.

Bulan Syaaban juga dikatakan melebihi bulan-bulan lain seumpama kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas segala Anbia' iaitu para-para Nabi-nabi.  Syaaban diagungkan pula dengan Malam Nisfu Syaaban.

Ada hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah bersabda bahawa pada malam ini Allah akan mengampunkan mereka yang memohon keampunan, dan diafiatkan dari bala bagi mereka yang ditimpa bala, serta dirahmati rezeki bagi mereka yang memohon rezeki.  Mengikut kitab pula dikatakan Jibril bersungguh-sungguh menunaikan segala hajat pada malam Nisfu Syaaban ini.

Samaada hadis itu kuat atau lemah, setiap seruan dan nasihat kepada kebaikan dan kebajikan sepatutnya dituruti.  Tidak salah untuk melipat-gandakan usaha untuk mendapat kebaikan dan keredhaan Allah SWT.

Isnin, 12 Julai 2010

SEPANYOL JUARA PIALA DUNIA 2010

SEPANYOL menang 1 - 0 dalam perlawanan akhir sebentar tadi.  Penantian bertahun-tahun dan bermusim-musim berakhir.  Malam ini selepas 13 kali percubaan, akhirnya mereka memecah kebuntuan dan berjaya menjadi juara Piala Dunia 2010 ini.

Perlawanan akhir malam ini tidak menepati kualiti satu pertandingan berprestij seperti Piala Dunia.  Pengadil melayang kad di minit-minit awal lagi.  Kemudian terlalu banyak kad telah dilayangkan.

Satu tindakan merbahaya menendang dada lawan yang seharusnya seorang pemain Belanda dibuang padang tidak berlaku.  Rentak permainan ikut terjejas.

Begitu pun syabas dan tahniah kepada Sepanyol yang menjadi Juara.

Khamis, 8 Julai 2010

FINAL PIALA DUNIA

Belanda sudah mengesahkan tempatnya di final semalam.  Sekarang Sepanyol sudah melayakkan diri ke peringkat akhir juga.

Sepanyol telah menunjukkan mutu permainan yang amat cemerlang.  Tetapi tidak juga mendapat gol yang dicari.

Pada minit 73 barulah mereka mendapat gol pertama dan satu-satunya gol dalam perlawanan separuh akhir ini.  Sepanyol mengalahkan Jerman 1 - 0.

Peramal 'octopus' semakin menjadi.  Kredibilitinya meningkat!  Nanti Jerman menjadikannya kerabu.  Hehe.

Khamis, 1 Julai 2010

WAJIP BERTANGGUNG-JAWAP

Menteri Pertahanan, YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Komander Maktab Tentera Di Raja (RMC) harus ada akauntabiliti, dan wajip bertanggun-jawap.  Yakni Komander berkenaan  mesti bertanggung-jawap sepenuhnya di atas apa yang berlaku bersabit dengan kematian pelajar Maktab tersebut tempuhari.

Ini membuat saya merasa agak jengkel juga.  Kalau itu adalah pegangan asas kita bermakna semua pemimpin dan ketua harus bertanggung-jawap sepenuhnya di atas segala apa yang berlaku di Kementerian atau Jabatannya.

Kalau begitu tidakkah Menteri Pertahanan ketika engin jet hilang tempuhari mesti bertanggung-jawap di atas kehilangan itu?  Maknanya Perdana Menteri yang menjadi Menteri Pertahanan ketika itu wajip bertanggung-jawap.  Bukan begitukah?

Sesuatu peraturan itu mesti diaplikasi secara menyeluruh.  Semuanya tidak terkecuali.  Janganlah peraturan seperti ini dipakai hanya untuk golongan bawahan saja.  Yang di atas itu dulu yang mesti di atur supaya yang di bawah dapat hormat dan patuh.

Jumaat, 25 Jun 2010

BANTAH JUDI

Ingat nak buat N3 lain tadi, tetapi saya tertarik pulak kepada berita ini.  Ia adalah mengenai perhimpunan 100 ribu orang kerana membantah judi kehendak rakyat.

Begitu  banyak telah bersuara secara sendiri-sendiri atau mewakili pertubuhan tertentu.  Tetapi ini nampaknya seperti satu rally besar-besaran.  Saya petik berita ini untuk tatapan kita bersama:
KUALA LUMPUR, 24 Jun: "Perhimpunan ini kehendak semua rakyat,” kata Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Mohd Azmi Abdul Hamid selepas memohon permit untuk himpunan 100 ribu rakyat bantah judi pada 3 Julai ini.

Beliau mengetuai GMJ ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memohon permit itu. Hadir sama ialah Setiausaha GMJ, Suhaizan Kayat dan AJK GMJ, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Himpunan besar-besaran 3 Julai ini menghimpunkan semua bangsa dan agama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan termasuk judi bola sempena Piala Dunia 2010.

Mereka dijangka berkumpul bermula jam 2 petang di beberapa tempat termasuk di Masjid Jamek, Masjid Negara dan pusat membeli belah Sogo sebelum bercantum dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut GMJ, peserta himpunan disaran memakai pakaian sukan atau jersi bolasepak piala dunia sebagai menyatakan bantahan terhadap kelulusan lesen judi tersebut.

Mereka juga dibawa oleh Ketua Cawangan Khas Dang Wangi, DSP Izan Bakri untuk diambil keterangan kira-kira 30 minit berhubung himpunan tersebut.

Pada sidang media selepas itu Cikgu Azmi berkata, GMJ mengharapkan respons positif pihak polis berhubung permohonan yang telah dibuat.

"Kami harap ada kerjasama positif membenarkan kita mengadakan himpunan aman menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Ditanya jika permohonan tersebut ditolak, beliau berkata wakil-wakil GMJ akan tetap berada di tempat-tempat yang ditetapkan pada hari tersebut.

"Perhimpunan ini kehendak semua rakyat. Wakil kami tetap akan berada di Masjid Negara, terpulang kepada orang ramai sama ada mahu menyertai atau tidak," katanya.
Saya rasa jika diadakan saya pun nak ikut serta sebab kita wajip menyokong perkara yang baik. Judi itu jelas haram dalam Islam. Jadi orang Islam jelas mesti menyertainya jika tidak berhalangan.

Ahad, 20 Jun 2010

TIADA HARI BAPA UNTUKKU

Sudah bertahun-tahun juga saya rasa kesunyian disaat kaum lelaki yang bergelar Ayah, Pak, Abah, Daddy dan pelbagai lagi merayakan Hari Bapa dengan gembira.  Memang sudah begitu suratan takdir.

Saya tidak pernah mengenali ayah kandung sendiri kerana saya dipelihara oleh keluarga angkat sejak berumur separuh hari.  Ayah saya menghilang diri sebelum saya dilahirkan lagi.  Ibu saya kahwin baru selepas melahirkan saya.

Ayah angkat memang memelihara saya sebagai anak sendiri kerana keluarga angkat saya tidak ada anak lelaki.  Tetapi kini, ayah angkat saya juga sudah meninggal lapan tahun yang lalu kerana sakit tua.

Saya tidak punya anak sendiri.  Isteri saya pun tidak mahu membela anak angkat.  Jadi kami hidup berdua suami isteri saja.  Sedih kan!

Selalunya saya ke rumah kakak angkat saya dihari minggu.  Kekadang ke rumah adik sepupu angkat.  Tetapi di hari bapa selalunya saya tidak akan pergi kerana rasa janggal pula.


Selasa, 15 Jun 2010

KOSMETIK MENARIK

Memang menarik pilihan template yang ditawarkan.  Saya dah mencuba beberapa kali juga untuk mencari keserasian.

Bukan apa segala kombinasi warna dan corak harus mengikut citarasa kita sendiri.  Barulah kita akan merasa lebih selesa nak duduk berehat.  Tak gitu?

Akhirnya saya ingat saya lebih selesa dengan corak dan sususan seperti wajah blog saya sekarang ini. :)

Ahad, 13 Jun 2010

MUSIBAH BERTIMPA

Saya rasa cerita bola ni ada hampir di mana-mana.  Jadi saya tak payah nak menambah sesakkan lagi.  Lagi pun saya tidak berapa nak berapa nak mesra alam sangat dengan bolasepak ni.

Di dalam begitu banyak cerita hari ini, saya rasa terkesan dengan berita musibah yang menimpa sebuah keluarga.  Seorang bapa berdepan dengan musibah anak perempuannya koma sejak sebulan lalu akibat ketumbuhan di kepala.  Kelmarin kereta keluarga mereka pula dicuri ketika diletakkan di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Sedihnya mendengar musibah bertimpa-timpa yang dialami oleh keluarga ini.  Anak perempuan yang sakit masih lagi koma, kereta untuk kegunaan seharian pula lesap.

Tentulah kejadian itu melibatkan kerugian kewangan.  Tetapi apa yang lebih menyedihkan ialah mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan yang tinggi untuk berulang-alik ke hospital.  Sedangkan bapa berkenaan hanyalah seorang pengawal keselamatan sahaja.  Berapa sajalah pendapatannya.  Sungguh amat menyedihkan.

Tentu ada hikmah di atas segala musibah yang menimpa.  Kita bantulah berdoa semoga mereka terus tabah.  Insya Allah, mereka akan dirahmati dengan keberkatan dan kemudahan.

Khamis, 10 Jun 2010

MEREKA INI PENGANUT AGAMA APA?

Sudah berdekad-dekad kita mendengar tentang cerita pembunuh berani mati.  Pembunuh nekat seperti ini didapati hadir di kalangan masyarakat tertentu.

Semalam diberitakan seorang pembunuh berani mati ini telah merempuh satu majlis kenduri di Kandahar, Afghanistan dan meletupkan dirinya.  Perbuatannya membunuh dan mencederakan ramai tetamu.

Peristiwa ini sungguh amat menyeramkan.  Nasib baiklah perkara seperti ini tidak hadir di dalam masyarakt kita.

Saya terfikir-fikir sendiri; pembunuh berani mati ni sebenarnya penganut agama apa?  Saya yakin ini bukanlah sesuatu yang diharuskan didalam Islam.

Pembunuh berani mati adalah mereka yang membunuh diri.  Membunuh diri adalah salah dalam Islam, dan tiada hukum dan nas yang mengharuskan perkara seperti ini sekalipun.

Mereka yang melakukannya dan mereka yang seangkatan dengan mereka mengatakan ini adalah jihad dan mati mereka adalah mati shahid.  Hukum mana dan nas mana yang mereka pakai?

Apa yang jelas dan nyata membunuh diri adalah sesuatu yang bukan jihad tapi sahih adalah amalan sesat!  Jelas mereka jahil dalam ilmu Islam.

Khamis, 3 Jun 2010

BEBASKAN GAZA

Alang-alang rasa panas dan tak dapat tidur elok juga saya kemas kini blog ni.  Sudah banyak hari juga tak buat N3.  Saya nak berkongsi pandangan tentang isu kekejaman regim zionis Israel.

Penderitaan perit getir rakyat Palestin selama enam dekad telah dapat dirasai oleh anggota misi damai bantuan ke Gaza yang telah diserang, ditawan dan dibebaskan.  Begitulah kata wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail dalam bual-bicaranya melalui Stesyen berkenaan hari ini, sebaik selepas sampai di Jordan setelah dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.

Antara Rupa Seruan Menuntut Kebebasan Gaza

Mungkin inilah hikmah disebalik semua  tragedi  yang menimpa anggota misi bantuan keamanan yang menaiki kapal Mavi Marmara, kapal yang mengepalai konvoi fortilla itu.  Dunia dapat melihat dengan jelas kekejaman regim zionis yang telah  menganianyai penduduk Palestin selama lebih dari setengah abad.

Selama ini kekejaman mereka sering diputar-belitkan untuk menjustifikasikan serangan dan penganianyaan terhadap Palestin.  Kuasa-kuasa besar pula sentiasa memihak kepada regim Israel.

Tetapi gambar satelit serangan ke atas kapal misi bantuan keamanan ini menceritakan segalanya.  Seperti kata bijak-pandai, gambar boleh menceritakan segala peristiwa tanpa perlu berkata-kata.

Semoga selepas ini seruan supaya membebaskan Gaza akan disokong secara lantang dan meluas. Amin, amin.

Sabtu, 29 Mei 2010

HATI TERBAWA SEDIH

Seorang pemandu syarikat tiba-tiba saja terkena serangan angin ahmar awal pagi tadi.  Rupanya dia pun hidup berdua dengan isterinya saja kerana mereka juga tidak mempunyai zuriat.

Melihat keadaannya yang terlantar sakit dan isterinya pula mengidap darah tinggi dan kencing manis serius saya ikut rasa sedih.  Maklum sajalah saya pun tidak mempunyai zuriat dan hidup berdua dengan isteri saya sahaja.

Siapalah yang tidak mahu anak?  Malah saya memang amat suka kanak-kanak.  Tetapi siapalah yang dapat melawan takdir?  Arwah isteri saya yang pertama dulu disahkan mandul.

Kemudian sahabat kenalan keluarga telah mengaturkan perkahwinan saya dengan isteri saya sekarang.  Selepas berkahwin baru saya tahu sebenarnya dia adalah seorang janda yang juga disahkan mandul.  Kira sudah suratan nasib saya begitu.

Tetapi hari ini hati saya amat terbawa sedih.  Tadi selepas menziarah pemandu berkenaan, saya terus ke rumah kakak angkat saya seorang diri.  Saya cuma menelefon isteri memberitahunya saya berada di rumah kakak.

Saya memang mahu mengambil anak angkat tetapi isteri saya enggan.  Kata anak saudara angkat, iaitu anak kakak angkat saya, "Angah jangan susah hati, kita orang ada.  Kalau apa-apa Angah beritahu."  Terubat juga sedikit, tapi hati saya masih sedih.

Rabu, 26 Mei 2010

BIARKAN ISU JUDI KERANA MENGENANG BUDI?

Saya merasa amat sedih dengan sikap pemimpin Islam Melayu yang sepertinya mendukung kemungkaran dan perkara yang tidak Islamik.  Kita bukan saja ada pemimpin Islam Melayu, tetapi kita ada pemimpin yang berkelulusan tinggi dalam bidang pengetahuan hukum hakam Islam di dalam kabinet dan sebagai penasihat.

Kenapa mereka tidak bersuara berpandukan hukum agama dan syarak di atas segala tindakan yang bercanggah dengan akidah dan hukum Islam?  Kenapa semuanya diam saja?

Saya tahu ada  sekurang-kurangnya tiga pemimpin yang berkelulusan tinggi dalam bidang agama di kalangan pemimpin tertinggi negara.  Mereka yang ada di dalam untuk bersuara itu ialah Datuk Seri Jamil Khir, Dato Dr Mashitah dan Dato Abdullah;  seorang Menteri, seorang Timbalan Menteri dan seorang Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.

Sekarang heboh sana sini pasal kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak.  Kenapa mereka yang mempunyai kelulusan akademik agama yang kukuh dan diberi kuasa tidak bersuara.  Tidak cukup lagikah dengan lesen Magnum dan Toto?

Ada yang mendabik dada mengatakan semua ini adalah untuk orang bukan Islam.  Hujjah mereka lagi, dengan memberi lesen itu kita akan menjana pendapatan hingga ratusan juta Ringgit sekurang-kurangnya.

Masaalahnya banyak orang Melayu Islam juga turut terlibat di dalam kegiatan berjudi ini.  Apa jaminan yang memastikan orang Melayu Islam tidak turut sama teruja untuk melakukannya.  Mereka-mereka ini tidak mempunayi iman yang kukuh, dan penguatkuasaan untuk mencegah mereka dari turut berjudi juga tidak efektif jika ada pun.

Setahu saya Jamil Khir dan Mashitah kedua-duanya masuk memegang tapuk pimpinan melalui pintu belakang iaitu melalui perlantikan menjadi senator.  Adakah mereka terpaksa mengenang budi hingga perkara-perkara yang bersabit dengan agama terpaksa dikompromi?

Bila difikirkan dengan lebih rasional, mana mungkin Jamil Khir mampu untuk bersuara membela agama di dalam kabinet.  Semasa beliau menjadi Pengarah KAGAT di dalam ATM dulu pun beliau tidak mampu melahirkan warga tentera yang mantap iman mereka.

Isnin, 24 Mei 2010

LETIH TRAVELLING

Hari Jumaat saya dan pembantu terpaksa pergi buat delivery ke outstation kerana ada order sampingan dari pejabat anak syarikat yang kami jadi pembekal.  Oleh kerana mereka bersetuju untuk membayar harga tambahan kerana membekal ke luar kawasan, saya pun setuju.

Alang-alang ke utara, saya terus balik menjengah kampung juga sekejap.  Isteri saya pun ikut juga, walaupun terpaksa duduk bersempit dengan stok barang semasa menghala pergi.

Selepas pukul satu lebih tadi baru kita selamat sampai balik ke rumah.  Saja bertolak selepas Maghrib untuk mengelakkan jem.  Kekadang hari minggu memang jem jugak.

Agaknya dik letih travelling dan cuaca panas, mata susah nak pejam.  Jadi layar-layar di Maya la sekejap.  Tapi bila dah masuk, baru rasa mengantuk pulak.  Tak jadi buat N3 lain lagi. Hehe.

Rabu, 19 Mei 2010

BAIK JADI AMAH!

Kata isteri saya, kalau dah macam tu punya terma-terma menggajikan amah si Minah Indon, lebih baiklah jadi amah saja.  Apa tidaknya, gaji nak tinggi, mahu cuti lagi dan majikan pula terikat dengan macam-macam tanggung-jawap.

Pengalaman saya dengan amah Indon ni ada yang OK.  Tetapi banyak yang menimbulkan pelbagai masaalah.

Kebanyakkan mereka yang saya tengok bekerja di rumah kakak dan saudara-saudara lain tu, tidak begitu cekap bekerja.  Jenuh juga nak mengajar mereka.  Setelah pandai sikit, mereka mula berkenalan dan rapat dengan rakan-rakan amah-amah Indon lain.  Jadi tambah satu masaalah lagi!

Isnin, 17 Mei 2010

TERIMA KASIH CIKGU!

Seharusnya saya membuat N3 semalam.  Tetapi ada hari perjumpaan keluarga.  Malam hari dah hujan lebat pula.

Apapun, saya mahu merakamkan rasa terima kasih kepada semua guru-guru saya.

E A M A   
&
T R M K A S I H

Sabtu, 15 Mei 2010

MESTI CARANYA TIDAK KENA

Saya pun bukan seorang yang berkebolehan dan berkelulusan tinggi untuk membicarakan tentang hal-hal yang besar mengenai negara.  Tetapi di waktu yang sama, saya amat merasakan bahawa kita perlukan suatu perubahan yang jauh lebih baik.

Di zaman saya kanak-kanak dulu, kita masih boleh merasakan kehebatan kita dibidang sukan bolasepak dan badminton.  Tetapi sekarang semuanya berada di tahap corot dan amat tidak memberangsagkan.  Juta-juta wang terus dihabiskan, tapi kemajuan tidak nampak jelas.

Mesti caranya tidak kena.  Sesuatu yang saya rasakan paling tidak kena ialah banyak jawatan di dalam persatuan-persatuan sukan sekarang dimonopoli oleh ahli politik dan korporat.  Sepertinya mereka lebih berminat mencari nama untuk diri sendiri!

Kita mahukan pemimpin yang hati dan nadinya berada di dalam sukan-sukan berkenaan.  Umpamanya kita tidak mahu seorang Menteri Sukan yang mengaku terlepas pandang dan lewat menempah tempat perlawanan sebesar Piala Thomas, tetapi meremehkan kesilapan itu.  Sekarang bila ternyata pemain-pemain negara tidak mampu meraih kembali Piala berprestij ini, beliau hebahkan mahu mengadakan 'post-mortem' pula.

Orang yang tidak cerdik dan tidak berkelulusan seperti beliau tahu, squad kita kurang bersedia di segi mental, dan mereka kelihatan goyah.  Jika persekitaran kacau dan tidak mendukung, kosentrasi pemain memang mudah goyah!

Ahad, 9 Mei 2010

LAWAK PENCURI!

Pencuri yang satu ini sudah pasti mempunyai humor yang tinggi juga.  Mereka boleh buat lawak dengan meninggalkan nota minta maaf seperti di bawah ini lagi.


Ini gara-gara mereka telah mencuri sebuah kereta resmi Ketua Polis Selangor dua hari lepas.  Agaknya bila dah tersiar berita tentang kecurian ini, baru mereka terperasan yang mereka telah mencuri kereta penguatkuasa.  Tentu susah nak mendapat kerjasama dari kedai-kedai potong tu.

Saya cuma pelek juga, kenapa pulak kereta berkenaan berada di tempat ianya dicuri dan pembawanya sedang minum pagi pula?  Kira-kira kereta resmi ni memang bebas dibawa ke mana saja agaknya!

Khamis, 6 Mei 2010

SIBUK TAHAP MAKSIMA

Oleh kerana apa yang  berlaku di pejabat tempuhari segala jadual penghantaran barang kepada pelanggan terpaksa dilakukan semula.  Saya juga terpaksa memanggil kontraktor untuk memperbaiki segala kerosakan dan menggantikan sistem keselamatan pejabat.

Jadi minggu ini saya dan staf-staf amat sibuk sekali.  Saya malah terpaksa menempatkan seorang staf untuk berada di ofis secara bergilir-gilir sepanjang hari.

Akhirnya hari ini barulah segala urusan membaik pulih kerosakan serta memperbaiki sistem keselamatan itu selesai.  Saya dan staf barulah dapat melakukan kerja bersabit dengan urusan penghantaran bekalan itu.  Insya Allah, minggu depan segalanya akan berjalan lancar seperti biasa.


Ahad, 2 Mei 2010

'BEKERJA' DI HARI PEKERJA

Kiranya bukan semua pekerja bercuti di hari pekerja ini.  Saya termasuklah di dalam golongan ini.  Tak semena saja pengawal pejabat menelefon dan katakan bahawa pejabat seperti dipecah masuk pencuri.

Kelam kabut saya dan seorang kakitangan lagi pergi ke pejabat.  Sampai di pejabat, rupanya pengawal keselamatan salah memberitahu.  Pejabat sebelah yang telah berjaya dipecah masuk.

Walaubagaimanapun pintu pejabat syarikat saya telah diumpil.  Cermin besar pecah.  Tetapi mangga besar  gril dalam belum berjaya dipecahkan lagi.

Oleh kerana kejadian itu, saya terpaksalah memeriksa seluruh pejabat juga.  Alhamdulillah, jelas mereka tidak berjaya buat apa-apa kerosakan lain.   Semuanya baik.  Tetapi syarikat saya juga ada memakai 'alarm' canggih sedikit. Mungkin itu yang membuat penjenayah itu gagal menceroboh masuk.

Namun begitu saya perlu mengambil langkah untuk memastikan tahap keselamatan masih di tahap tinggi. Saya terpaksa memanggil dua orang staf lagi datang membantu.   Kami terpaksa membawa barang-barang yang sedia tersusun untuk penghantaran pada hari Isnin dan Selasa masuk semula ke dalam kawasan premis yang lebih selamat.

Sampai malam jugalah baru semuanya selesai.  Badan terlalu amat letih ni tapi sementara mata belum mahu nak tidur, saya  mengadap komputerlah sekejap. :)

Isnin, 26 April 2010

TAK CUKUP SOKONGAN

Seharian juga saya dan isteri di Hulu Selangor, sementelah di jemput bersama-sama makan di rumah kawan.  Sebenarnya, keluarga itu adalah kawan rapat adik sepupu saya yang juga berada di sana.

Seronok jugalah berjumpa dengan orang se kampung.  Tak juga betul-betul sekampung, tapi, kami semua berasal dari kawasan yang sama iaitu Alor Setar.  Jadi selera makan dan sebagainya pun memang ada banyak persamaan.

Lagi pula semalam tu katanya adik sepupu saya yang menerajui dalam urusan menyediakan makanan.  Jadi ada gulai rebung ayam, daging bakar cicah air asam, sambal udang petai, pajri terung, kerabu tauqey, ikan masin goreng dan ulam-ulam.  Lepas ada bubur kacang campur jagung, karipap dan agar-agar untuk makan petang.  Pendeknya 'kenyang sampai ke temolok' kata orang utara.

Walaubagaimanapun, saya sedih kerana Dato' Zaid kalah disebabkan tidak mendapat cukup sokongan.  Ramai yang tidak menyokong BN pun masih memilih untuk pangkah BN juga.  Begitulah kuasa wang dan kedudukan.  Rasuah dan langkah rakus secara terang-terangan pun direstui juga.  Dunia!!!

Ahad, 25 April 2010

KERANA HATI KU IKUT JUA!

Chewaahh, sudah jadi tajuk jiwang la pulak.  Tapi itulah sebenarnya.  Hati ini dah teringin ke tahap gian nak melihat sendiri suasana di Hulu Selangor yang sedang 'beraya' kerana nak memilih wakil rakyat baru.

Sudah dua hari saya skodeng jer dari jauh.  Nak hampir takut juga terperangkap dengan apa-apa peristiwa yang mungkin tercetus.  Mana tidaknya, perasaan penduduk dah disensasikan dan polis pula mendatangkan kontigen besar ke sana.  Salah langkah sikit saja akan memungkinkan berlakunya pergaduhan.  Jadi saya mesti bersikap rasional.

Semalam ada seorang sahabat keluarga yang mempelawa untuk datang makan-makan di rumahnya di Serendah hari ini.  Bagaikan orang mengantuk disorongkan batal.  Saya membuat keputusan untuk menerima pelawaan itu.

Sahabat itu menjemput datang untuk makan tengahari hingga membawa ke saat saya sendiri mahu pulang.  Kira-kira sampai keputusan diumumkan la tu.  Ini saya sudah pun bersedia nak pergi.  Tapi nak juga buat N3 ini dulu.  Hehehe.

Khamis, 22 April 2010

HATI INGIN TAPI ...

Kalau ikutkan hati, saya memang nak sangat berada di Hulu Selangor.  Ya la, asyik dengar cerita orang dan berita terpesong melalui media arus perdana saja.

Jadual kerja sampai esok petang baru selesai.  Macam mana nak pergi tu?  Katanya, di sana dah penuh dengan fleet polis!  Salah-salah langkah karang, langsung tak boleh hampir pun ke kawasan berkenaan.

Agaknya, masa macam-macam begini, banyak orang ikut pasukan pekerja UMNO dan BN sebab polis akan lepas masuk.  Tapi rasa tak jujur pulak begitu!

Nampaknya, terpaksa akur dengan mendengar cerita melalui saluran-saluran yang ada sajalah.  Terkilan sungguh!

Saya ikut saranan Dato' Nik Aziz la.  Amin, amin.  Pasal apa?  Sebab dah tak larat nak dengar temberang melampau!

Isnin, 19 April 2010

BERKELAH DENGAN KELUARGA

Di hari minggu yang baru kelmarin beberapa ahli keluarga berkumpul.  Semua bersetuju pergi berkelah di Taman Titiwangsa untuk santai-santai bersama.

Seronok juga bila pergi ramai-ramai bersama begitu.  Sudah lama kami tidak berkesempatan untuk duduk dan lepak santai bersama.

Sebenarnya acara ini dilakukan secara 'ad hoc' saja.  Petang hari Sabtu, keluarga datang.  Malamnya, anak-anak menyatakan nak naik kuda.  Jadi semua setuju untuk pergi ke Taman Titiwangsa kerana ada tempat yang memberi khidmat menaiki kereta kuda berhampiran di sana.

Menjamu Selera 1

Menjamu Selera 2

Malamnya tu kaum wanita sibuk juga memasak ala-ala kadar.  Awal-awal pagi mereka sambung memasak.  Selepas pukul 9 pagi, kami dah bertolak ke sana.

Lama juga kami sekelian berada di sana.  Ada yang jalan-jalan sepanjang Taman Tasek Titiwangsa bersebelahan dengan tempat masuk utama.  Anak-anak pula pergi menaiki kereta kuda.  Yang lebih berumur pun berjalan juga melihat orang memancing.

Pendeknya acara keluarga ini amat menyeronokkan.  Masakan yang serba ringkas pun semuanya sedap.

Isnin, 12 April 2010

MENITI HARI-HARI TUA

Tadi waktu tengahari, saya, pemandu dan seorang pekerja lagi terpaksa membeli nasi campur bungkus kerana tidak dapat tempat parkir di tempat makan berhadapan Balai Polis di New Town.  Kami menghala pergi ke tempat duduk di Tepi Tasik Taman Jaya.  Di sana kami berjumpa dengan seorang tua yang sudah berumur lebih dari 81 tahun yang juga sedang duduk makan di situ berseorangan saja.

Mak Cik ini amat menarik perhatian.  Beliau begitu ceria menceritakan bahawa hidupnya sudah sempurna.  Katanya, hidupnya sudah melepasi 30,000 hari, dan sekarang beliau sedang terus mengharungi hidup dengan gembira, tenang dan damai.

Beliau bercerita bahawa hampir semua saudara mara, dan kawan-kawan sudah tidak ada.  Kedua orang anaknya pula sudah lama berhijrah ke luar negara.  Oleh kerana beliau tidak mahu ikut bersama mereka, beliau menerima hari-hari mendatang seadanya.  Beliau tidak risau kerana beliau mempunyai punca kewangan yang cukup teguh kerana arwah suaminya dulu adalah pesara kerajaan peringkat menengah.

Mengikut ceritanya juga, hampir setiap hari beliau akan ke Tasik itu kerana tempat itu melambangkan kehidupan.  Beliau pun tinggal tidak jauh, jadi tidak menjadi masaalah untuk beliau ke situ.  Katanya kekadang beliau membawa bekalan sendiri, dan di hari-hari lain beliau hanya beli dari penjual di Taman itu.

"Kita tidak boleh memilih sendiri cara kematian kita.  Jadi, biarlah kita cuba mengatur cara hidup kita mengikut selera kita sendiri.  Tuhan punya perancanganNya.  Saya akan terus menjalani hidup ini dengan berani dan syukur.  Umur mematangkan kita, dan kita mesti ada keyakinan.  Saya masih kuat, sihat dan gembira."  Begitulah ceritanya.

Ada harinya beliau akan pergi menziarahi saudara dan kawan yang masih ada tetapi sedang terlantar sakit.  Beliau menegaskan bahawa beliau tidak mahu menjadi seperti mereka yang terbaring sendirian.  Katanya mereka itu berhati dan wajah murung kerana sakit, rasa tersisih, dan resah menunggu saat kematian.  Semuanya itu hanya semakin menambahkan penderitaan mereka.

Di akhir pertemuan, beliau berkata dengan tegas kepada kami bertiga, "anak-anak juga jangan sekali-kali mengalah kepada takdir begitu!"

Selasa, 6 April 2010

DAH RIUH PILIHANRAYA

Tadi saya pergi membuat hantaran bekalan di sebuah pejabat di kawasan Parlimen Hulu Selangor.  Dah meriah kawasan itu dengan bendera parti dan juga poster orang atas BN.

Agaknya sekali ini memang tidak ada larangan untuk meletakkan bendera dan poster sebelum hari penamaan calun seperti di kawasan lain dulu itu.  Betul la juga.  Pada hari Suruhanjaya Pilihanraya buat pengumuman tentang hari yang ditetapkan untuk hari penamaan calun dan hari mengundi, atasan dan pembesar parti dah mula berkukuk di sana.

Seronok juga orang Hulu Selangor yang sudah dijanjikan dengan sekolah baru, peruntukan tambahan dan entah apa-apa lagi.  Saya pun tak ingat.  Yang nyata pemimpin dan jentera BN sudah mula pastikan agenda mereka ialah untuk berada di kawasan Parlimen Hulu Selangor.  Tentunya sampai ke hari mengundi nanti.

Kalau saya jadi pengundi berdaftar di sana, saya tentu akan menerima segala yang diberi.  Semuanya pun duit semua rakyat Malaysia juga.  Tak gitu?

Ahad, 4 April 2010

TERFIKIR-FIKIR LA PULAK

Saya baca N3 ddrfauziah mengenai ginseng tu.  Seperti biasa beliau selalu paparkan kelainan dan N3nya tu amat informatif.

Jika difahamkan, memang ginseng tu boleh jadi penawar yang mujarab.  Tetapi bagi kita yang dah masuk golongan lewat dewasa ke orang lama, macam ada banyak pula sekatannya.  Jadi, saya terfikir macam mana orang yang selalu suka minum kopi ginseng dan sebagainya tu.

Mungkin itu agaknya sebab orang jadi tiba-tiba mendapat serangan jantung dan koma serta sebagainya tu.  Kata ddrfauziah mereka harus berjaga-jaga, tapi promosi benda-benda ini amat meluas.  Itu yang saya terfikir-fikir pulak.  Macam mana nak buat?

Sabtu, 3 April 2010

SALAM TAKZIAH

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Din Beramboi yang telah kembali ke Rahmatullah pada malam Jumaat dan juga telah selamat dikebumikan semalam.  Dari Allah kita datang, dan kepadaNYA kita dikembalikan.  Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, amin.

Didoakan juga semoga balu dan anak-anaknya tabah menghadapi dugaan ini, amin.

Rabu, 31 Mac 2010

MALU RASANYA TAPI ......

Siang tadi semasa saya sedang di dalam perjalanan untuk membuat penghantaran bekalan, tayar kereta saya pancet.  Nasib baik juga, dah tak berapa jauh dari destinasi.  Ada juga sebuah parkir bersebelahan.  Cuma ianya adalah parkir yang jauh sedikit iaitu lebih 1 blok dari tempat penghantaran.

Walaubagaimanapun saya sudah tak ada pilihan kerana jika pergi jauh lagi takut akan merosakkan rim tayar pula.  Saya gagahi juga membawa kereta perlahan-perlahan masuk ke dalam parkir berkenaan.

Terkial-kial saya dan pembantu kerana kereta sarat dengan barang bekalan.  Kalau sedakar menurun sedikit barang saja, tentu susah nak jakkan kereta untuk tujuan menukar tayar tu.  Tambahan pula tayar ganti ada dibawah sekali.  Nak diturunkan semuanya, tempat parkir itu tak sesuai kerana kotor dengan pasir dan debu.

Saya menelefon kakak angkat saya.  Kebetulan beliau pun ada urusan di pejabat yang tidak berapa jauh dari tempat saya berada.  Tetapi beliau perlu menyelesaikan urusannya dahulu.  Hampir sejam selepas itu baru beliau datang.

Apabila beliau datang, pertama sekali beliau komen kenapa tidak buat penghantaran sementara menunggu pertolongan.  Bila saya katakan tempatnya di blok yang satu lagi, kata beliau, "..... menunggu di dalam kereta dalam cuaca panas pun meletihkan juga.  Lebih baik berjalan jauh sedikit bekerja daripada letih membuang masa."

Berdesing juga telinga, tapi saya diamkan saja.  Kemudian pembantu mengangkat barang untuk dimasukkan ke dalam kereta kakak saya.

"Kenapa buat kerja dua kali?  Letakkan barang-barang itu di atas troli dan terus pergi hantar dulu," kata kakak yang seperti perintah.  Kita akur dengan mengeluarkan kedua-dua troli dan meletakkan barang-barang seagak muat di atasnya.

Selepas dah diletakkan ke dalam kedua-dua troli, barang yang tinggal di dalam kereta sudah tak berapa banyak lagi.  Bakinya adalah sekitar lebih sedikit dari satu troli.  Sudah mudah nak dijakkan untuk menukar tayar.  Tetapi oleh kerana tayar ada dibawah sekali, terpaksa angkat semua juga.  Kakak suruh letakkan saja selebih barangan di atas troli juga.

Malangnya, saya dan pembantu terkial-kial juga nak menaikkan jak itu.  Selama ini pun saya tak pernah menukar tayar sendiri.  Nasib baik juga kakak angkat saya pandai.  Nampak mudah saja, kerana kakak tahu caranya yang betul.  Tetapi beliau cuma mengarahkan supaya melakukan mengikut cara yang betul .. hehe.

Saya rasa malu dengan kakak kerana beliau nampak bijak menangani masaalah ini.  Tetapi, saya telan juga rasa malu itu.  Saya sedapkan hati dengan mengatakan sendiri, 'beliau berkelulusan tinggi!'  Namun kenyataannya, saya tadi gelabah dan mudah menyerah.  Semoga ini menjadi pelajaran yang baik untuk diri saya.

Ahad, 28 Mac 2010

KESEORANGAN DI HARI MINGGU


Sepatutnya di hari-hari minggu seperti ini kita ada banyak acara kekeluargaan dan kenduri.  Malangnya saya keseorangan pulak.

Pagi semalam isteri saya balik ke kampung kerana ayahnya sedang sakit.  Saya pula tak dapat ikut balik bersama kerana di minggu baru ini ada banyak komitmen kerja.  Mahu tak mahu, terpaksalah duduk berkeseorangan di rumah.  Jika keadaan ayah mertua memberat, paling awal saya hanya dapat ikut balik ke kampung pada hari Rabu yang akan datang ini.

Jadi hari ini dan beberapa hari lagi nanti terpaksalah juga  makan di mana-mana gerai atau restoran mamak.  Awal pagi tadi dah pergi pekena roti telur dan nasi lemak bungkus di restoran mamak yang berhampiran dengan rumah.

Sekejap tadi kakak angkat saya telefon suruh datang makan di rumahnya saja selama isteri balik ke kampung.  Insya Allah, hari ini terjimatlah belanja .. hehe.  Tetapi di hari kerja tentulah susah kerana rumah kakak agak jauh juga.


Jumaat, 26 Mac 2010

SIFAT RAJA TERPUJI

Saya kagum dengan Pemangku Raja Kelantan, DYMM Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra.  Walaupun saya tidak mengenali baginda secara peribadi, saya tetap kagum dengan karektornya.

Dulu kita mendapat berita benar bahawa baginda mesra rakyat di mana baginda sedia berjemaah bersama rakyat secara terbuka.  Hari ini pula kita mendapat kabar bahawa baginda tetap tenang menghadapi kemelut yang melanda iaitu bersabit dengan kedaulatan dan kerabat Kelantan.

Umum sudah tahu tentang keadaan kemelut cubaan "merampas kuasa" raja di Kelantan.  Berita on-line melalui saluran Bernama memetik baginda berkata dengan tenang dan diiringi senyuman, "Tokleh (tidak boleh), Tokleh (tidak boleh), nanti biar sudah. Ginilah kirim salam kat semua orang" apabila baginda ditanya tentang kemelut kuasa di Raja Kelantan.

Saya pernah bertembung dengan baginda suatu ketika dulu di Lapangan Terbang Antarabangsa.  Baginda bukan saja berwajah tampan, tapi juga kelihatan amat mesra dengan semua orang di sekelilingnya.

Isnin, 22 Mac 2010

GARA-GARA MODEM HANCUR!


Saya terputus hubungan dengan Maya gara-gara modem rosak.  Silap saya sendirilah kerana semasa keluar seharian tu terlupa nak menarik keluar plug dan wayar internet.  Kebetulan hari tu hujan lebat dengan guruh petir.

Bila sampai balik di rumah, bekalan letrik sudah pun terputus.  Hari dah lewat malam juga.  Tergagau-gagau pula mencari lilin untuk melihat kotak bekalan utama, dan menekan semula 'switch' utama itu.

Selepas bekalan letrik pulih semula, baru tahu punca bekalan letrik boleh terputus.  Rupanya modem terkena kejutan akibat petir.

Telekom datang untuk lihat dan baiki.  Tetapi mereka kata modem dah hancur.  Ingatkan rosak sedikit saja yang dapat dibaiki.  Jadi terpaksalah beli modem baru.

Setelah menggantikan dengan modem baru pun, internet  masih juga putus-putus.  Mereka kata dah periksa dan betulkan di 'port' ke apa tak tahu, tapi masaalah tu masih juga berterusan.  Hari ini barulah okey.  Inilah baru nak melayan ...... hehehe.

Rabu, 17 Mac 2010

LAWAK YANG MEMUALKAN

Bagaimana la Astro boleh melulus dan menyiarkan cerita-cerita yang begitu rendah nilai budi dan tata susila serta memperlekehkan keupayaan minda manusia.  Jika nak menggalakkan manusia lebih terbuka minda pun bukan sampai ke tahap menghina; kalau nak berlawak pun bukan sampai ke tahap melampau-lampau persendakan gender.

Saya dah tak lalu nak tengok cerita macam 'Dibawah Ketiak Isteri 2' - memang dah over sangat!  Dulu ingat dah habis siri 1, habislah.  Tapi, malah disambung lagi ke siri 2 pula.  Apa punya mentaliti???

Cerita macam 'Kamelia & Katrina' tu pun adalah termasuk di dalam kategori di bawah tahap piawai yang boleh diterima - ada hati nak cakap orang putih lagi, tapi lintang pukang!  Sudah semakin banyak siri-siri drama dan lawak di Astro yang amat menjengkelkan; dan ada yang sudah amat meloyakan.

Orang ramai dah pun merungut, tapi mereka merungut di luar sajalah.  Kebanyakan mereka pun masih terpaksa membayar caj bulanan juga.  Apa nak buat!  Kerajaan dah beri mereka kuasa monopoli!

Sabtu, 13 Mac 2010

MEMANG PANAS!!!

Waduh panas betul berita tentang seorang pelakon lelaki popular yang telah di tahan reman itu. Di mana-mana sampai hari ini, asal jumpa orang kenal saja terus keluar cerita ini.

Pelbagai tekaan dan andaian pula dibuat. Ada beberapa orang kata mereka tahu siapa pelakon itu, tetapi tak hendak pula memberi tahu kerana takut nanti kena saman malu.

Nampaknya, kita kena tunggu perkembangan selanjutnya dari berita ini. Sudah pasti dalam sedikit waktu lagi keluarlah maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kes ini.

Isnin, 8 Mac 2010

AMALAN MEMBACA AYATUL KURSI

Sebelum Maghrib tadi, seorang anak jiran yang berumur sekitar lima tahun terjatuh di longkang tepi pagar dan menjerit seperti histeria.  Saya dan jiran tak tahu nak berbuat apa.  Kami baca beberapa Ayat-ayat Al Quran, tetapi anak jiran saya terus meronta dan menjerit-jerit.

Nasib baik juga ada seorang jiran lain yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang baik lalu untuk pergi ke Masjid.  Beliau meminta garam dan lada.  Kemudian beliau membaca beberapa Ayat Al Quran sambil memegang kepala dan kaki kanak-kanak berkenaan.  Selepas lebih kurang lima belas minit, anak jiran tu pun pulih.  Jiran yang memulihnya terus menabur garam dan lada di sekitar halaman serta juga di atas bumbung rumah.

Kami diberitahu bahawa pokok besar di seberang jalan berhadapan rumah jiran saya itu sekarang diduduki oleh makhluk halus.  Rupanya sebelum peristiwa jatuh longkang itu, anak jiran saya bermain dengan pembantu rumah di bawah pokok berkenaan.  Kata jiran yang memulihkannya, mungkin lebih baik jika kami berusaha meminta ulama datang memulihkan tempat berkenaan, kerana makhluk halus yang dikatakan olehnya telah menetap di situ.

Seram dan ketakutan dibuatnya.  Walaupun begitu kami sekelian diberitahu jika kita menunjukkan kita takut dan lemah, kita akan sentiasa mudah diganggu.  Kami dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan bacaan Ayatul Kursi, terutama sekali selepas solat dan juga setiap kali kami berada di kawasan berdekatan dengan pokok berkenaan.

Saya teringat pesan kakak saya untuk sentiasa amalkan membaca Ayatul Kursi ini supaya sebati dengan diri.  Katanya Ayatul Kursi  merupakan ayat yang paling agung kerana mengisahkan keagungan Allah serta kekuasaan-Nya yang tidak terbatas.  Tambahnya lagi, kita  perlu membaca Ayat ini untuk mendapat keredhaan serta perlindungan Allah SWT dari segala kejahatan manusia, jin dan syaitan.

Oleh kerana saya nak menceritakan peristiwa ini, sekejap tadi, saya google mencari Ayatul Kursi ini.  Di bawah adalah Ayatul Kursi yang agak baik dan jelas.
بِسْمِ اﷲِالرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم


Maksud dan pengertian:

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Dan Maha Penyayang

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Tiada Dia mengantuk, Tiada pula tidur. BagiNya segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada satu apa pun yang mampu memberi syafaat (pertolongan) kecuali dengan izinNya. Yang Mengetahui segala yang ada di hadapan dan apa yang ada di belakang mereka; Tiada mereka mengetahui sesuatu pun akan ilmuNya melainkan atas kehendak izinNya. Luasnya Kursi Allah (ilmu dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya; dan Dialah Yang Maha Tinggi serta Maha Besar kekuasaanNya.
Sama-samalah kita cuba melatihkan diri untuk sentiasa membaca Ayatul Kursi ini.  Semoga kita sentiasa dipelihara dan dilindungi.

Khamis, 4 Mac 2010

TURUT GEMBIRA JUGA


Sebenarnya saya sedang amat sibuk ni sebab saya perlu selia penghantaran barangan.  Tetapi baru sekejap tadi saya mendapat panggilan telefon daripada sepupu mengatakan dia juga sudah ikut blogging.

Saya turut gembira dengan kehadirannya.  Jadi, saya segera membuka blog untuk memberi sokongan moral kepadanya.  Semoga dia rasa senang.

Harapan saya supaya semua yang sudi mengikut saya sekelian itu sudi juga mengikut sepupu saya.  Namanya bloggingnya ialah 'CIKDAH.'  Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.


Ahad, 28 Februari 2010

SEMPAT JUGA MENJENGAH KE KAMPUNG

Memandangkan minggu ni pun cuti am bersambung dengan cuti hujung minggu, saya dan isteri mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung sekejap.  Sebelum fajar lagi kita orang dah bertolak.  Selepas tu singgah solat Subuh di kawasan rehat Tapah.

Alhamdulillah, trafik ok.  Tetapi kerana singgah minum dan makan dua kali di perjalanan, lima jam lebih jugalah baru sampai di Alor Star.  Tetapi sempat berehat jugalah sebelum pergi menunaikan solat Jumaat.

Semasa balik tu saya sempat juga ziarah kubur arwah ayah dan arwah isteri pertama serta juga berkunjung ke rumah saudara-mara terdekat.  Kira-kira makan percuma dan tidur 'free' la sepanjang masa balik ke kampung tu ...... hehehe.

Petang semalam saya dan isteri pergi juga membeli bekalan makanan di Pekan Rabu.  Sempat menjamu selera mee bandung di gerai saudara dan kawan lama lagi, pun percuma juga.  Hai, susah juga kerana kita bayar pun dia tak nak ambil.  Agaknya jika selalu balik dan pergi makan, baru la tak ada makanan percuma ni ... :)

Kebanyakan barang makanan yang dibeli ni sebenarnya adalah pesanan kakak.  Biasalah, kakak saya memang suka beli serunding daging lokal buatan Kelantan serta kuah rojak yang dijual di Pekan Rabu dan di gerai tertentu tu.  Tak lupa juga ialah beras pulut susu dan emping.

Sekali ni kakak saya siap suruh mencari buluh lemang dan daun palas lagi.  Tak cukup dengan tu, beliau suruh beli rebung kuning atau rebung hutan untuk buat kari bersama daging dan dimakan dengan roti surai.  Kata beliau nak adakan majlis makan petang (Hi-Tea) di rumahnya pada hasi Sabtu yang akan datang nanti.

Tadi pagi kita orang bertolak balik selepas Subuh.  Sekali saja singgah rehat dan makan di Sungai Perak.  Jadi awal jugalah sampai balik sini.  Ni dah boleh rehat dan relaks.

Jumaat, 26 Februari 2010

SALAM MAULIDUR RASUL


Umat Islam seluruh dunia mengadakan pelbagai acara sempena menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada setiap tahun.  Sekali lagi Maulidur Rasul datang lagi pada hari ini.

Allah SWT telah mengangkat Nabi Muhammad SAW ke tahap tertinggi, dan setiap apa yang kita buat sebagai memuliakan baginda akan dibalas dengan kebaikan pahala.  Jadi eloklah jika turut sama-sama meraikan Maulidur Rasul ini.  Paling tidak pun kita bersalawat berlipat kali ganda dari hari-hari lain sepanjang tahun.

Saya mencari-cari dan kemudian mendapat kaligrafi di atas melalui khidmat Google.  Nampak cantik dan rasanya sesuai untuk menghiasi laman saya.

Lupa pulak nak memperkatakan sedikit tentang bulan kelahiran Nabi, iaitu bulan Rabiulawal, tahun Hijrah.  Bulan Rabiulawal  ialah bulan ketiga dalam kalendar Islam.

Mengikut sejarah, bulan Rabiulawal bermaksud bulan bilamana pokok-pokok tanaman mula berbunga atau musim bunga sesuatu tahun.  Kebiasaannya di bumi Arab ini, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan juga mula berbunga dan seterusnya berbuah.  Jadi nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka.  Setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW telah mengekalkan nama Rabiulawal ini.

Sekali lagi Selamat Maulidur Rasul.  Semoga kita semua diberkati dengan limpah rahmat Allah.  Amin.

Isnin, 22 Februari 2010

BERGELAP ANGKARA PENCURI


Memang pencuri-pencuri peralatan sambungan arus letirk tidak takut dan tidak serik-serik mencuri alat peralatan sambungan arus letrik di stesyen pencawang elektrik.  Ini adalah kerana ada pembeli yang mahu membelinya dengan membayar harga yang cukup berbaloi dengan usaha mereka.  Jadi, episod penduduk bergelap kerana pencawang rosak setelah diceroboh akan sentiasa berulang.

Dua hari lepas, kira-kira 200 orang penduduk di Taman Mutiara, Sungai Kob, di Kulim, Kedah terpaksa bergelap setelah pencuri menceroboh pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di kawasan Kulim.  Mereka telah mencuri peralatan "Neutral Passbar" pada Peti Pembekal Voltan Rendah dan sistem pembumian pencawangan telah dicuri.

Mengikut sumber berita berkenaan, penduduk dianggarkan kerugian RM 10,000 setiap rumah.  Ini adalah kerana berlaku kerosakan barangan elektrik akibat renjatan bekalan elektrik setelah kemasukan aliran elektrik yang terlalu tinggi.  Banyak peralatan seperti peti televisyen, peti sejuk, pemain cakera padat dan seterika meletup, terbakar dan rosak secara tiba-tiba.

Awal pagi tadi rumah saya pula tiba-tiba tiada punca letrik.  Saya tengah mandi, tiba-tiba lampu terpadam dan pancutan air jadi perlahan.  Menggagau saya keluar  mencari set lampu kecemasan di bilik tidur setelah isteri saya menjerit di dapur kerana ketakutan.  Tersepak beberapa barang jugalah baru sampai ke tempat lampu itu diletakkan.

Saya menjengah keluar ke rumah jiran.  Sama juga, semuanya kelihatan gelap.  Selepas itu saya membuat lapuran kepada TNB.  Rupanya sudah ada jiran yang sudah pun membuat lapuran.

Sehingga saya keluar kerja tadi, bekalan letrik belum dipulihkan lagi.  Mengikut sumber TNB, peralatan sambungan arus letrik di pencawang dekat kawasan rumah saya telah dicuri, dan mereka perlukan sedikit masa untuk menggantikannya.